KUALA LUMPUR: Kementerian Dalam Negeri (KDN) dalam pertimbangan untuk menggunakan kod QR yang mengandungi maklumat peribadi dan butiran perjalanan pengembara bagi mempercepat proses pemeriksaan kaunter imigresen.

Timbalan Menterinya, Datuk Seri Shamsul Anuar Nasarah berkata, ia secara tidak langsung dapat mengurangkan risiko rasuah dan salah guna kuasa di kaunter.

"Antara kelebihan kod QR adalah memendekkan tempoh clearance kepada lima saat berbanding auto-gate yang ambil masa sehingga 30 saat. Ini juga dapat kurangkan kesesakan terutama ketika waktu puncak.

"Selain itu pengembara yang guna motosikal seperti di Tambak Johor juga tidak perlu tanggal topi kaledar bagi pemeriksaan Jabatan Imigresen (JIM) kerana teknologi pengesanan muka ini membantu, kita ke arah sistem yang lebih baik, ini antara beberapa inisiatif kerajaan," katanya.

Beliau menjawab pertanyaan RSN Rayer (PH-Jelutong) yang meminta KDN menyatakan langkah menambah baik perkhidmatan dan bilangan mesin pengimbas pasport automatik di semua pintu masuk negara bagi memudahkan urusan kemasukan pelancong

Shamsul anuar menambah, penggunaan kod QR juga akan diperluaskan di pintu masuk utama negara yang bersesuaian termasuk lapangan terbang antarabangsa serta di pusat pemeriksaan di sempadan darat dan laut.

Selebihnya, KDN kini sedang merancang melaksanakan pemakaian kamera badan ke atas anggota JIM yang bertugas di pintu masuk utama negara menerusi peruntukan Rancangan Malaysia ke-13.

Menjawab soalan tambahan RSN Rayer mengenai dakwaan ada petugas JIM menjual pembalut plastik pasport di kaunter dengan harga RM5, Shamsul Anuar berkata, ia terserah kepada pelanggan untuk membuat pilihan.

Maklum balas itu diminta RSN Rayer susulan terdapat berita daripada akhbar berbahasa Inggeris bertajuk ‘Student claims immigration officer demanded RM5 when collecting new passport’ bertarikh 30 November lalu.