Ringkasan AI
- Empat aktivis haiwan memfailkan saman terhadap MDB dan Kerajaan Negeri Terengganu berhubung pembunuhan anjing bernama 'Kopi'.
- Kes saman ini akan didengar pada 15 Januari 2025 di Mahkamah Tinggi Kuala Terengganu.
- Plaintif mendakwa tindakan MDB melanggar Seksyen 29(e) dan Seksyen 30(1) Akta Kebajikan Haiwan 2015.
Keempat-empat plaintif iaitu Dr Kartini Farah Abdul Rahim, S. Mukunnan, Hong Hai San dan Pengerusi Persatuan Penjagaan Anjing dan Kucing Liar, S Shashi Kumar memfailkan saman pemula itu pada 10 Dis lepas menerusi Tetuan Raj & Sach di Mahkamah Tinggi Kuala Terengganu dengan menamakan MDB dan Kerajaan Negeri Terengganu sebagai defendan pertama dan kedua.
Berdasarkan dokumen yang diperoleh media hari ini, kesemua plaintif memohon satu deklarasi bahawa pembunuhan anjing bernama 'Kopi' menggunakan senjata api oleh defendan pertama (MDB) melanggar Seksyen 29(e) dan Seksyen 30(1) Akta Kebajikan Haiwan 2015.
Mereka turut menuntut satu deklarasi bahawa penembakan haiwan di bawah Seksyen 30 (2) akta sama adalah dilarang kerana Seksyen 30 (1) akta tersebut jelas memperuntukkan bahawa penembakan menggunakan senjata api terhadap mana-mana anjing, kucing atau haiwan lain adalah tidak dibenarkan.
"Ia melainkan dibenarkan oleh pihak berkuasa veterinar dalam situasi kecemasan atau untuk tujuan kawalan penyakit sahaja.
"Oleh itu, kami menuntut suatu deklarasi bahawa Seksyen 9(1) dan (2) Undang-Undang Kecil Lesen Anjing (Majlis Daerah Besut) 1990 melanggar Seksyen 29 (e) dan Seksyen 30 (1) akta tersebut," kata kesemua plaintif di dalam saman itu.
Sementara itu dalam sidang akhbar di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur hari ini, peguam Rajesh Nagarajan mewakili kesemua plaintif berkata tarikh 15 Jan 2025 ditetapkan untuk pendengaran kes saman tersebut di hadapan Hakim Mahkamah Tinggi Kuala Terengganu Datuk Hassan Abdul Ghani.
Pada 13 Okt lepas, Yang Dipertua MDB Mohd Sukeri Ibrahim dilaporkan berkata tindakan melupus seekor anjing liar yang dikenali sebagai ‘Kopi’ oleh MDB seperti yang tular di media sosial sejak awal bulan ini adalah mengikut prosedur dan menafikan dakwaan anjing itu dibiarkan oleh petugas setelah mati.
Akaun Facebook My Forever Doggo (MFD) baru-baru ini berkongsi video berdurasi 52 saat memaparkan Kopi mati akibat kecederaan serius dan disedari seorang penduduk di taman perumahan berdekatan selepas terdengar bunyi tembakan.
Perkongsian video berkenaan menarik perhatian netizen dan mencetus polemik di media sosial khususnya golongan pencinta haiwan yang mahu menuntut keadilan atas kematian anjing liar itu.
-- BERNAMA