JERTIH: Tindakan melupus seekor anjing liar yang dikenali sebagai 'Kopi' oleh Majlis Daerah Besut (MDB) seperti yang tular di media sosial sejak minggu lepas adalah mengikut prosedur yang ditetapkan.

Yang Dipertua MDB Mohd Sukeri Ibrahim berkata dakwaan pihak tertentu bahawa anjing tersebut dibiarkan oleh petugas setelah mati adalah tidak benar.

"Tindakan pelupusan anjing liar itu dilaksanakan mengikut prosedur Tatacara Operasi Piawai (TOP) ditetapkan Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) dan selari dengan peruntukan Seksyen 30 Akta Kebajikan Haiwan 2015.

"Malangnya usaha petugas untuk mengambil bangkai anjing tersebut telah dihalang oleh individu tertentu," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau yang merujuk kepada kenyataan oleh Persatuan Haiwan Terbiar Malaysia (SAFM) melalui hantaran di Facebook semalam berkata operasi oleh MDB itu dibuat berdasarkan Undang-Undang Kecil Pelesenan Anjing (Majlis Daerah Besut) 1990.

Mohd Sukeri berkata undang-undang tersebut membenarkan penggunaan senjata api dalam keadaan tertentu ketika operasi melupuskan haiwan liar tersebut.

Beliau berkata ia antaranya menyebut mana-mana anjing berlesen atau tidak yang pemiliknya tidak ditemui boleh dibinasakan atau dilupuskan sebagaimana diarahkan oleh Yang Dipertua atau mana-mana pegawai yang diberi kuasa.

"Operasi penangkapan dan pelupusan anjing liar telah diadakan di sekitar bandar Jertih pada 6 Sept 2024 secara bersepadu melibatkan 25 orang pegawai dan kakitangan MDB, Pejabat Veterinar Daerah Besut dan pejabat Dewan Undangan Negeri (DUN) Kota Putera.

"Ia dilaksanakan susulan aduan daripada orang awam berkenaan sekumpulan anjing liar yang berada di sekitar Bank Simpanan Nasional Jertih yang bertindak agresif dengan menyerang dan mengganggu orang awam yang melalui kawasan itu," katanya.

Terdahulu, akaun Facebook My Forever Doggo (MFD) berkongsi video berdurasi 52 saat memaparkan Kopi mati akibat kecederaan serius dan disedari seorang penduduk di taman perumahan berdekatan selepas terdengar bunyi tembakan.

-- BERNAMA