Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Rusdi Mohd Isa memberitahu, polis juga akan memanggil aktivis, Shima Aris yang mendedahkan hasil pemeriksaan terperinci kucing itu untuk direkodkan keterangan pada Khamis ini.
"Polis membuka kertas siasatan berhubung kematian kucing dan kenyataan yang dikeluarkan seorang aktivis haiwan seperti yang dilaporkan dalam media.
"Rakaman percakapan akan diambil pada Khamis ini," katanya dalam kenyataan di sini pada Selasa.
Shima pada Isnin mendedahkan hasil pemeriksaan terperinci berdasarkan ujian imbasan sinar-X yang dilakukan di sebuah klinik swasta mendapati empat kakinya seperti dipotong dan mempunyai luka besar pada badan seperti dibunuh dengan menggunakan senjata tajam.
Aktivis berkenaan dalam sidang media memberitahu, dia meminta doktor pakar veterinar untuk melihat bangkai haiwan berkenaan dengan lebih terperinci bagi mengenal pasti punca sebenarnya kematian.
Berdasarkan laporan perubatan dan juga x-ray, Shima berkata, Lily bukan mati akibat dibunuh anjing.
Sebaliknya, laporan itu mengatakan kakinya seperti dipotong dan perutnya juga terbelah ketika ditemukan.
Perkongsian kejadian berkenaan turut tular dan mendapat pelbagai reaksi masyarakat termasuk aktivis serta pertubuhan bukan kerajaan (NGO) berkaitan haiwan di media sosial sejak beberapa hari.
Bagaimanapun polis memaklumkan hasil semakan bersama Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV) rakaman kamera litar tertutup (CCTV) sekitar lokasi kejadian mendapati binatang itu akibat serangan anjing liar.