Lebih malang inap desa yang disewa untuk melangsngkan majlis perkahwinan turut dinaiki air.
Nur Izzatul berkata, majlis yang dirancang untuk meraikan 1,000 jemputan termasuk ahli keluarga dan rakan-rakan sejak lima bulan terpaksa diubah pada saat akhir dan makanan dibungkus untuk diagihkan kepada orang ramai disebabkan banjir yang semakin buruk.
Malah laluan masuk dari Pekan Kepala Batas ke inap desa di Titi Besi, Kepala Batas itu ditutup untuk kenderaan ringan berikutan paras air yang semakin meningkat.
Nur Izzatul berkata, dia tidak menyangka majlis kenduri sepatutnya berlangsung dengan meriah terpaksa diubah pada saat akhir namun dia dan suami, Mohamed Khairie Mohamed Kamal, 28, tetap akan memakai baju pengantin dengan bergambar kenangan dalam situasi banjir, hari ini.
Katanya, perancangan mereka dibuat sejak Mei lalu dan sudah mengedar kad jemputan selain menempah pelamin, baju pengantin, mak andam, cenderahati yang menelan belanja kira-kira RM20,000.
"Pihak katering juga bersetuju untuk menghantar tempahan makanan namun kami terpaksa membungkus semua makanan yang disertakan bersama cenderahati untuk diedarkan kepada orang ramai hari ini menggunakan lori," katanya ketika ditemui di sini pada Sabtu.
Nur Izzatul Asma berkata, mereka menyewa inap desa itu sejak empat hari lalu disebabkan rumah mereka di Kampung Alor Ganu dinaiki air sehingga ke paras pinggang.
Katanya, walaupun sedih dengan apa yang berlaku namun dia dan suami menganggap hari perkahwinan mereka menjadi sejarah kerana terpaksa diraikan dalam keadaan banjir.
"Kami mengambil gambar kenangan dengan memakai baju pengantin menaiki bot serta kenderaan pacuan roda berlatar belakangkan kawasan banjir, memang seronok la," katanya yang bekerja sebagai kerani.
Katanya, dia berterima kasih kepada tetamu terutama kenalan serta ahli keluarga yang hadir ke majlis kenduri akad nikahnya semalam sanggup datang walaupun terpaksa menaiki bot milik penduduk selain menaiki pacuan empat roda.
Pengantin lelaki, Mohamed Khairie berkata, dia bersyukur kerana majlis akad nikah selesai namun terkilan kerana tidak dapat meraikan majlis kenduri di pihak keluarganya dari Simpang Kuala kerana banyak laluan terputus akibat banjir.
Katanya, hanya tiga orang dari ahli keluarganya dapat hadir ke majlis akad nikah semalam kerana yang lain tidak dapat datang.
"Selalunya saya tengok kes perkahwinan dalam banjir ini melalui televisyen dan laman sosial saja dan tak sangka kali ini saya dan isteri pula lalui, namun kami redha sajalah sebab nak buat macam mana lagi," katanya yang bekerja sebagai jurujual barangan elektrik di Simpang Kuala, di sini.
Ibu pengantin perempuan, Surina Said, 51, berkata, dia tidak menyangka majlis kenduri anak perempuan mereka, yang juga anak keempat dari lima beradik itu, terpaksa diubah bukan seperti yang dirancang sebelum ini.
Katanya, walaupun susah hati mengenangkan rumah mereka dinaiki air sedalam lebih satu meter namun mereka reda dengan apa yang berlaku.
"Kami terpaksa menyewa sementara inap desa ini sehingga air surut sepenuhnya dan jika paras air terus meningkat di sini, kami terpaksa berpindah ke tempat lain.
"Namun, semua makanan untuk majlis kenduri anak kami hari ini akan dibungkus dan diberi kepada ahli keluarga, kenalan kerana mereka tidak dapat datang selain diberi pada mangsa banjir katanya.
Bapa pengantin perempuan, Mustafa Ismail, 62, berkata, dia sudah memaklumkan kejadian banjir itu kepada semua adik beradik, sanak saudara serta kenalan mereka.
Katanya, mereka menyewa inap desa itu kerana kawasan itu luas dan senang untuk tetamu parkir kenderaan mereka tetapi tak sangka kawasan itu dilanda banjir.
"Kalau mereka nak datang, kami akan sediakan bot la tetapi kalau mereka nak randuk air atau naik pacuan empat roda itu ikut suka la tetapi kalau kenderaan ringan, memang tak boleh lalu jalan ni sebab air deras.
"Ini kejadian banjir yang terburuk yang pernah saya alami selepas tahun 2010 kerana sebelum ini kawasan rumah pun air hanya lintas jalan saya tetapi kali ni agak tinggi la," katanya.