Sistem pengurusan Jemaah haji Malaysia yang dipraktik Tabung Haji disifatkan sebagai antara yang paling teratur dan terbaik di dunia sehingga menjadi pilihan untuk dipelajari oleh negara luar, terutama dari benua Afrika.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Dr Mujahid Yusof Rawa berkata beliau didatangi beberapa rakan sejawat dari negara luar semasa Persidangan Mesyuarat tahunan Raja Saudi King Salman Khadim Haramain dengan Menteri Agama Seluruh Dunia di Istana Mina pada Khamis yang menyatakan hasrat demikian.

"Alhamdulillah, model (pengurusan) Malaysia yang saya sebutkan itu sudah berada pada bibir rakat sejawat lain, termasuklah duta Palestin (ke Arab Saudi) telah menyatakan hasrat sama.

"Negara kita dihormati sebagai sebuah negara Islam yang progresif dan saya akan teruskan untuk mencapai maksud menjadikan Malaysia sebagai contoh kepada dunia (melalui sistem pengurusan haji)," katanya pada sidang media di sini, Jumaat.

Menjawab kepada permintaan negara tersebut, beliau berkata Malaysia sudah tentu akan memberi bantuan dan tunjuk ajar yang diperlukan bagi menambah baik sistem pengurusan jemaah haji mereka pada masa akan datang.

"Malaysia sudah pastinya berbesar hati sekiranya terdapat negara luar yang ingin belajar daripada kita dan kita sentiasa besiap sedia untuk berkongsi pengalaman yang kita ada kepada mereka," katanya.

Bertemakan 'konsep rahmat dan ganjaran dalam Islam', persidangan tahun ini menghimpun kira-kira 500 menteri dan wakil kerajaan dari 76 negara dalam usaha memantapkan keyakinan umat Islam serta mencari penyelesaian masalah dunia Islam dari sudut ilmiah dan intelektual.

-- BERNAMA