Secara purata antara 60 dan 70 orang di negara ini terjebak dalam penyalahgunaan dadah, dengan kebanyakan mereka bermula dengan amalan mengambil ubat-ubatan walaupun hanya sakit ringan, sehingga akhirnya ketagih.

Timbalan Menteri Dalam Negeri Datuk Nur Jazlan Mohamed berkata anggaran jumlah itu berdasarkan laporan penagih dadah baharu yang direkodkan Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) dan kerajaan amat memandang serius perkara ini.

"Kerajaan sentiasa mencari jalan mengatasi masalah penyalahgunaan dadah dalam kalangan rakyat negara ini termasuk memperuntukkan dana sebanyak RM2 juta bagi memulihkan penagih dadah baru-baru ini," katanya kepada pemberita selepas Majlis Graduasi Pengasih 2017 di sini, hari ini.

Nur Jazlan yang juga Pengerusi Persatuan Mencegah Dadah Malaysia (PEMADAM) berkata persatuan pemulihan dadah yang dilantik di bawah Majlis Penyalahgunaan Dadah Malaysia (MASAC) bagi melaksanakan program pemulihan dalam kalangan penagih dadah juga perlu meningkatkan mutu program pemulihan.

"Kita akan mewujudkan satu sistem supaya persatuan mengadakan prosedur operasi standard (SOP) mereka sendiri dan tidak terlalu bergantung kepada MASAC dalam operasi pemulihan," katanya.

Pada majlis anjuran Persatuan Pengasih Malaysia (Pengasih) itu, seramai 68 bekas penagih dadah menerima sijil pemulihan yang disampaikan Nur Jazlan.

Turut hadir, Presiden Pengasih Datuk Mohd Yunus Pathi.

Nur Jazlan turut memuji langkah yang diambil Pengasih dengan melantik pakar dan kaunselor dalam persatuan itu bagi memantapkan keberkesanan program pemulihan penagih di negara ini dan perlu dicontohi persatuan yang lain.

"Kita tidak boleh bergantung sepenuhnya kepada kerajaan dan persatuan-persatuan inilah yang memainkan peranan penting untuk melaksanakan program pemulihan dalam kalangan penagih supaya tidak kembali terjebak dengan aktiviti tidak sihat itu.

"Selain itu, bekas penagih juga perlu diberi sokongan oleh anggota keluarga agar bebas daripada pengaruh dadah," katanya.

-- BERNAMA