GOMBAK: Kementerian Pengangkutan akan meminda Akta Pengangkutan Jalan 1987 dalam tahun ini bagi membolehkan mereka mendakwa dan menghukum pemandu yang positif dadah.


Ringkasan AI
  • Pindaan Terhadap Pemandu Positif Dadah: Kementerian Pengangkutan akan meminda Akta Pengangkutan Jalan 1987 untuk membolehkan penguatkuasaan dan penghukuman terhadap pemandu yang positif dadah. Undang-undang sedia ada tidak membenarkan dakwaan kecuali jika pemandu terlibat dalam kemalangan jalan raya.
  • Operasi Bersepadu: Operasi bersepadu yang dilaksanakan sebelum ini menunjukkan kadar penggunaan dadah yang tinggi di kalangan pemandu.
  • Tindakan Lanjut: Kementerian berharap pindaan ini akan memperketat peraturan terhadap pemandu yang mengambil dadah, serta memastikan mereka disenarai hitam daripada sistem jalan raya.


Menterinya Anthony Loke berkata, undang-undang sedia ada tidak membolehkan penguatkuasaan dilakukan terhadap golongan pemandu terbabit selagi mereka tidak terlibat dalam kemalangan jalan raya.

Beliau berkata, operasi bersepadu selama lima hari yang dijalankan sebelum ini mendedahkan kadar penggunaan dadah yang tinggi di kalangan pemandu, dengan seorang daripada setiap 13 pemandu yang diperiksa didapati positif dadah.

“Undang-undang sedia ada ini belum cukup tegas terhadap pemandu yang mengambil dadah, kerana kita hanya boleh dakwa mereka sekiranya mengakibatkan kemalangan jalan raya. Kalau seseorang pemandu itu dikesan jadi penagih dadah tetapi tidak, atau belum ada kemalangan, tidak boleh didakwa hanya boleh digantung lesen sahaja.

“Ini perkara yang saya rasa kita perlu kaji balik. Kita tidak mahu tunggu sampai kemalangan berlaku baru ambil tindakan terhadap pemandu tersebut dan mereka ini perlu disenarai hitam daripada sistem kita termasuk jalan raya,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas memantau Operasi Khas Bersepadu Kenderaan Pelancongan, Perkhidmatan Awam dan Perdagangan di Gombak, pada Isnin.

Terdahulu MOT dalam satu kenyataan susulan berkata, Ops khas bersepadu itu dilaksanakan mengikut Akta Pengangkutan Jalan 1987 serta kaedah-kaedah di bawahnya; Akta Lembaga Perlesenan Kenderaan Perdagangan 1987, Akta Pengangkutan Awam Darat 2010 dan Akta Perlesenan Kenderaan Pelancongan 1999.

Menerusi operasi tersebut, JPJ dengan kerjasama Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) telah menyaring 2,547 pemandu bas persiaran dan ekspres, dan mendapati 26 pemandu telah positif dadah.

Operasi Khas Kenderaan Perdagangan yang bermula 1 Ogos pula telah mengesan 21 orang pemandu daripada keseluruhan 276 yang disaring, didapati positif dadah, dan ini menunjukkan setiap seorang daripada 13 pemandu berada di bawah pengaruh dadah sewaktu memandu.