Ketua Polis Daerah Sepang, Asisten Komisioner Norhizam Baharam berkata, dalam kejadian kira-kira pukul 12.45 tengah hari, sebuah kereta yang datang dari arah Putra Perdana menghala Sri Aman, di sini tiba-tiba hilang kawalan dan melanggar mangsa yang memberhentikan motosikalnya di lampu isyarat merah di persimpangan itu.
Menurutnya, akibat pelanggaran itu mangsa yang berusia 27 tahun mengalami kecederaan parah dan meninggal dunia di tempat kejadian.
"Kita siasat kes ini mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 yang memperuntukkan hukuman penjara tidak kurang lima tahun serta maksimum 10 tahun dan denda tidak kurang RM20,000 dan tidak lebih RM50,000.
"Jika disabit salah, suspek juga berdepan hilang kelayakan daripada memegang atau mendapatkan lesen memandu selama tempoh tidak kurang daripada lima tahun dari tarikh sabitan, katanya dalam kenyataan di sini, pada Jumaat.
Norhizam berkata, berdasarkan keterangan awal, pemandu kenderaan itu merupakan seorang wanita, berusia 39 tahun.
Orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berhubung kejadian itu diminta menghubungi pegawai penyiasat, Inspektor Mohamad Fadzil Zainol Abidin di talian 019-6488474 atau mana-mana balai polis berhampiran.