PETALING JAYA: Seorang lelaki yang videonya tular membuat provokasi dengan memandu kereta secara berbahaya selepas ditegur menghisap rokok di kawasan stesen minyak di Damansara Damai, didakwa di Mahkamah Majistret di sini hari ini.

R. Simachalam, 35, mengaku tidak bersalah atas pertuduhan memandu kereta secara melulu yang boleh mendatangkan bahaya kepada diri sendiri dan pengguna jalan raya lain di Jalan PJU 10/10B Damansara Damai di sini pada 2.55 petang, 9 Dis lepas.

Dia dituduh mengikut Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 (Akta 333) yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum lima tahun dan denda antara RM5,000 hingga RM15,000, jika sabit kesalahan.

Timbalan Pendakwa Raya Nurul Husna Amran mencadangkan jaminan RM9,000 dengan seorang penjamin manakala peguam V. Pushparajan yang mewakili tertuduh memohon jaminan rendah atas alasan anak guamnya yang bekerja sebagai pembantu kedai runcit mempunyai tanggungan keluarga.

"Tertuduh perlu menjaga ibunya yang berusia 59 tahun dan abang yang lumpuh berusia 39 tahun," kata peguam.

Majistret Farah Azura Mohd Saad membenarkan Simachalam diikat jamin RM4,500 dengan seorang penjamin dan menetapkan 28 Jan depan untuk sebutan kes. 

Semalam, Bernama melaporkan polis menyiasat sebuah video tular yang memaparkan seorang individu menghisap rokok di kawasan stesen minyak dan kemudian melakukan provokasi dengan memandu secara berbahaya apabila ditegur oleh seorang orang awam. 

-- BERNAMA