Ketua Polis Daerah Kajang ACP Naazron Abdul Yusof dalam kenyataan memaklumkan akibat pelanggaran itu, ambulans terbabit telah bergerak dan merempuh sebuah kereta serta dua motosikal selain lima individu yang berada di hadapannya.
Beliau berkata sebelum itu, terdapat kemalangan lain berlaku di lokasi berkenaan yang membabitkan sebuah kereta dan sebuah motosikal.
"Semasa pihak ambulans sedang memberikan rawatan kepada penunggang motosikal yang terlibat dengan kemalangan berkenaan, datang sebuah van dari arah belakang dan melanggar ambulans berkenaan," katanya sambil menambah semua mangsa dihantar ke Hospital Serdang serta Hospital Kajang untuk rawatan dan tiada kemalangan jiwa dilaporkan.
Naaron berkata kes itu disiasat mengikut Seksyen 43(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Terdahulu, Bernama melaporkan enam individu cedera dalam nahas melibatkan van Toyota Hiace, ambulans Kementerian Kesihatan, kereta Hyundai Starex dan dua motosikal Yamaha Y15 serta Nouva LC di Jalan Kajang Perdana.
Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia Selangor Ahmad Mukhlis Mokhtar berkata enam anggota serta pegawai dari Balai Bomba dan Penyelamat Kajang bergegas ke lokasi kejadian selepas pihaknya menerima maklumat berhubung insiden itu pada 9.50 pagi.
-- BERNAMA