Pemangku Ketua Polis Daerah Besut DSP Md Sani Md Saleh berkata kemalangan kira-kira pukul 7.10 malam itu menyebabkan mangsa berusia 13 tahun meninggal dunia di lokasi akibat cedera parah pada anggota badan manakala seorang lagi mangsa turut cedera parah.
"Siasatan awal polis mendapati setibanya pelajar terbabit yang menunggang motosikal jenis SYM dari arah Kampung Benting Lintang ke Kampung Bukit Jeruk di tempat kejadian, dipercayai tiba-tiba telah hilang kawalan.
"Motosikalnya kemudian bertembung dengan sebuah motosikal jenis Honda Dash ditunggang lelaki berusia 20 tahun dari arah bertentangan," katanya dalam kenyataan lewat malam tadi.
Md Sani berkata mayat pelajar itu dihantar ke Unit Forensik Hospital Besut untuk bedah siasat manakala penunggang motosikal yang cedera parah di paha dan kepala turut dihantar ke hospital sama sebelum dirujuk ke Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) Kubang Kerian, Kelantan untuk rawatan lanjut.
-- BERNAMA