KUALA LUMPUR: Sebanyak 134,718 notis telah dikeluarkan atas pelbagai kesalahan melibatkan penunggang motosikal di seluruh negara dalam operasi khas yang dijalankan sejak November lepas hingga semalam.

Timbalan Ketua Pengarah (Perancangan dan Operasi) Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Datuk Jazmanie Shafawi berkata antara kesalahan tertinggi yang direkodkan ialah tiada lesen memandu (38,754 kesalahan), cukai jalan tamat tempoh (28,897) dan tiada perlindungan insurans (26,095).

Beliau berkata kesalahan lain yang turut direkodkan termasuk nombor pendaftaran tidak mengikut spesifikasi (7,852), lesen tamat tempoh (2,842), pemandu warga asing (2,750) dan menunggang motosikal bawah umur (319).

"Mengikut Seksyen 26(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987, tindakan boleh diambil terhadap pemilik kenderaan yang dipandu oleh seseorang yang tidak mempunyai lesen memandu yang sah.

"JPJ juga boleh mengambil tindakan terhadap ibu bapa atau penjaga yang membenarkan remaja di bawah umur memandu kenderaan motor tanpa lesen yang sah di bawah Seksyen 39 Akta Pengangkutan Jalan 1987, yang memperuntukkan denda tidak melebihi RM2,000 atau penjara tidak melebihi enam bulan, atau kedua-duanya," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media semasa Majlis Penutup Operasi Motosikal di Plaza Tol Awan Besar, Lebuhraya Shah Alam, di sini semalam.

Menurut Jazmanie, ibu bapa yang dikenakan tindakan sering menggunakan alasan bahawa anak mereka mengambil motosikal berkenaan tanpa pengetahuan mereka.

"Ibu bapa sewajarnya memastikan anak masing-masing menggunakan kenderaan dengan cara yang betul, termasuk mempunyai lesen memandu, cukai jalan yang sah dan perlindungan insurans," katanya.

Sepanjang operasi khas itu, sebanyak 3,668 motosikal turut disita atas pelbagai kesalahan dan seramai 561 penunggang motosikal telah disaring dengan 66 daripadanya didapati positif dadah.

-- BERNAMA