Menterinya, Datuk Seri Tiong King Sing berkata, industri pelancongan budaya mempunyai potensi besar untuk menjana ekonomi negara dan meningkatkan pendapatan rakyat berikutan mampu menyumbang kepada pertambahan jumlah pelancong domestik dan asing.
"Tourism Malaysia dan agensi di bawahnya dipertanggungjawabkan untuk program dan aktiviti ini," katanya ketika berucap pada majlis MOTAC Bersama Komuniti @ Sibu 2024 di Kompleks Sukan Komuniti Azman Hashim, di sini, malam tadi.
Beliau berkata, pelancongan domestik bagi sembilan bulan pertama tahun lepas merekodkan 193.3 juta pelawat berbanding 158.7 juta pelawat pada 2023, iaitu peningkatan 21.8 peratus manakala perbelanjaan pelancongan domestik dari Januari hingga September pula mencapai RM77.8 bilion berbanding RM 61.2 bilion pada 2023.
Tiong berkata, ketibaan pelancong asing bagi Januari hingga November lepas pula sebanyak 32.2 juta orang berbanding 25.9 juta orang pada 2023 iaitu peningkatan 31.8 peratus.
Dalam pada itu, Ahli Parlimen Bintulu dan Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Dudong itu juga berkata, kementeriannya akan melancarkan program "Midnight Sales" bersama pusat beli-belah dan akan dilaksanakan di seluruh negara.
"Promosi makanan sebagai pakej istimewa juga akan dijalankan untuk memperkenalkan dan mempromosikan hidangan tempatan Malaysia di pusat beli-belah dan outlet lain," katanya.
Beliau berkata, MOTAC juga akan melancarkan Tahun Melawat Malaysia 2026 tidak lama lagi untuk memperkukuhkan kedudukan Malaysia sebagai destinasi pelancongan utama dunia dan mengalu-alukan semua pihak bersama-sama menjayakan kempen tersebut.
Sementara itu, Tiong berkata, MOTAC akan terus mempromosikan Sarawak dan meminta kerjasama Lembaga Pelancongan Sarawak (STB) membantu menghasilkan lebih banyak produk pelancongan yang mampu menarik minat pelancong dari ASEAN, Asia, Timur Tengah, Eropah serta negara lain di seluruh dunia. - BERNAMA