PUTRAJAYA: Datuk Seri Tiong King Sing memaklumkan bahawa beliau tidak boleh memuaskan hati semua pihak susulan beberapa pihak mendesaknya meletak jawatan sebagai Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC).

Menurut King Sing, beliau mengalu-alukan pandangan daripada semua pihak dalam usaha untuk menambah baik kelemahan dalam mentadbir kementerian berkenaan dan industri pelancongan.

"Itu biasalah, kita tak boleh puaskan hati semua orang... dia suruh saya letak jawatan? Apa salah saya buat? Kita pun faham, dia pernah jadi Timbalan Menteri... tanya dia apa dia buat masa dia jadi Timbalan Menteri, apa dia sudah buat perubahan?

"Apa dia buat untuk transformasi? Saya mengharapkan di Parlimen, anda (Ahli Parlimen) boleh memberikan sesuatu maklumat dan cadangan yang baik.

"Beritahu mana kelemahan saya dan (apa yang) patut saya boleh ubah suai. Jangan cerita tidak tentu," katanya dalam temu bual bersama Astro AWANI dan beberapa media di sini, baru-baru ini.

Sebelum ini, beberapa Ahli Parlimen pembangkang termasuk Ahli Parlimen Machang, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal menyelar King Sing.

Malah, beliau juga menerima kritikan susulan menegur penguatkuasaan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) terhadap papan tanda dwibahasa selepas didakwa mencemarkan imej kerana bertindak 'terlalu kasar'.


Isu Papan Tanda

Mengulas mengenai perkara itu, King Sing berkata beliau konsisten tentang keperluan mewujudkan papan tanda dwibahasa bagi memudahkan pelancong asing yang berkunjung ke negara ini.

Beliau juga menasihati segelintir pihak termasuk bekas Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin, agar tidak mengaitkan isu papan tanda dengan politik.

"Sebelum ini, beliau juga adalah seorang menteri dan sebahagian daripada kerajaan. Jangan cuba bermain dengan isu politik seperti ini.

"Jika ada perkara yang beliau benar-benar tidak puas hati, datanglah berjumpa dengan saya dan kita boleh berbincang. Jika tidak, berikanlah cadangan yang lebih membina dan berguna untuk negara," katanya.

Dalam masa sama, King Sing mencadangkan  DBKL agar tidak bersikap 'terlampau kasar', selain memberikan notis terlebih dahulu kepada pihak berkaitan untuk menurunkan papan tanda yang tidak memaparkan bahasa Melayu.

Sebelum ini, DBKL dilapor melancarkan operasi berskala besar yang menyasarkan papan tanda tidak memaparkan bahasa Melayu, di beberapa kawasan termasuk Segambut, Pudu dan Jalan Silang di Kuala Lumpur.