Menterinya, Datuk Seri Tiong King Sing berkata, isu-isu tersebut tidak sepatutnya dikaitkan dengan sektor pelancongan khususnya dengan kehadiran pelancong dari China memandangkan mereka antara penyumbang terbesar kepada hasil ekonomi Malaysia.
Jelas beliau, sikap perkauman juga boleh mengakibatkan para pelancong 'takut' untuk mengunjungi Malaysia, sekali gus menjejaskan pertumbuhan ekonomi.
"Saya nak beri nasihat kepada saudara-saudari daripada semua kaum, kita mesti bekerjasama. Kita cuba sedaya upaya (tarik pelancong) China dan China juga tolong kita mempromosikan Malaysia.
"Bukan sahaja negara kita, malah saya pergi Arab, mereka pun agresif melakukan kempen di China dan minta pelancong China datang ke negara itu. Ini kerana, pelancong dari China banyak berbelanja dan apabila mereka berbelanja di negara kita, ekonomi akan berkembang.
"Kalau kita macam rasis, siapa mahu datang? Sekarang ada TikTok dan sosial media, suruh pelancong China jangan datang Malaysia kerana Malaysia didakwa bersifat rasis.
"Kalau kita sebegitu, siapa lagi nak datang? Kita sepatutnya mengalu-alukan semua pelancong dari mana-mana negara. Bukan saya sebagai Cina, saya nak pelancong China datang," katanya dalam temu bual bersama Astro AWANI dan beberapa media di sini, baru-baru ini.
Mengulas lanjut, King Sing berkata, sektor pelancongan menjadi antara penyumbang terbesar kepada ekonomi negara, dengan setakat September tahun ini, jumlah pendapatan yang diperoleh hasil ketibaan pelancong asing adalah sebanyak RM73.32 bilion.
Katanya, jumlah tersebut menunjukkan peningkatan sebanyak 48.8 peratus berbanding Januari hingga September 2023 dan 10.8 peratus bagi 2019.
"Jangan semua perkara berkait dengan politik. Kalau kita buat seperti itu, memang kita tidak akan berjaya termasuk VM2026 dan Kepengerusian ASEAN 2025.
"Orang semua takut kalau kita memiliki sikap seperti itu kerana jadikan isu agama... siapa mahu datang," katanya lagi.
Dalam perkembangan sama, King Sing berkata, MOTAC sedang berusaha menjalin kerjasama dengan negara-negara lain seperti Arab Saudi dan pempengaruh media sosial dalam mempromosi industri pelancongan Malaysia.
MOTAC siasat isu tular 'kekecewaan' pelancong China
Sementara itu, King Sing turut mengulas mengenai isu tular berhubung dakwaan pelancong China meluahkan rasa kecewa mengenai pengalaman semasa melancong ke Malaysia.
Jelas beliau, pihaknya sedang menyiasat perkara tersebut dan mengenal pasti punca sebenar kejadian.
"Saya masih lagi siasat kenapa mereka bersikap sebegitu kerana awal-awal mereka datang dan memang mempromosikan Malaysia. Tetapi baru-baru ini ada kejadian sebegitu.
"Saya cuba kenal pasti punca sebelum saya komen. Saya sudah minta tolong dengan China melalui ejen pelancongan atau mana-mana platform untuk membantu saya menyiasat.
"Sebab itu saya cakap, semua pihak kena kerjasama... Kalau hari-hari menghina pelancong dari China, mereka pun kecewa," kata King Sing.
Bagi tempoh Januari hingga November 2024, seramai 3.04 juta pelancong China mengunjungi Malaysia, menjadi antara lima penyumbang tertinggi selain Singapura (8.05 juta), Indonesia (3.27 juta), Thailand (1.50 juta) dan Brunei (1.01 juta).