PETALING JAYA: Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) melalui agensinya, Tourism Malaysia mengadakan sesi libat urus bersama pemain dan pemegang taruh industri pelancongan Wilayah Tengah, hari ini.

Majlis yang dirasmikan oleh Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Seri Tiong King Sing, adalah sebahagian daripada persediaan kempen Tahun Melawat Malaysia 2026 (VM2026) yang baru dilancarkan baru-baru ini.

“Saya ingin menegaskan bahawa kejayaan VM2026bergantung sepenuhnya kepada usaha kolektif kita semua. Setiap pemain industri termasuk pengusaha hotel, ejen pelancongan, operator pelancongan, rakan kongsi penerbangan, duta budaya, atau usahawan perlu memainkan peranan masing-masing,” katanya dalam ucapan perasmian.

Sesi itu bertujuan memberi gambaran menyeluruh mengenai kempen VM2026serta pelan strategiknya, termasuk insentif seperti Galakan Melancong (GAMELAN), Geran Sokongan Sektor Pelancongan (GSSP), dan Geran Sektor Penerbangan dan Carter (GSPC).

xxx

King Sing turut menekankan pentingnya aspek keselamatan pelancongan, terutama isu berkaitan lesen bas pelancongan.

“MOTAC berpendirian bahawa proses permohonan lesen bas pelancongan perlu diuruskan oleh kementerian kami. Ini lebih praktikal dan berkesan untuk memastikan pengoperasian bas pelancongan berjalan dengan selamat.

“Jika kuasa pemberian lesen di bawah MOTAC, kami boleh mengenakan tindakan tegas, termasuk menarik balik lesen pengusaha yang melanggar peraturan,” tambahnya.

Selain itu, beliau menegaskan keperluan menambah baik produk pelancongan serta kualiti perkhidmatan.

“Kita tidak boleh mengabaikan isu harga yang tidak setara dengan kualiti atau gambar promosi yang tidak mencerminkan realiti. Pelancong perlu merasai pengalaman yang jujur dan berkualiti. Dengan ini, kita dapat meningkatkan reputasi industri pelancongan Malaysia di mata dunia,” katanya.

Pada majlis sama, King Sing turut menyaksikan pertukaran Sijil Kolaborasi VM2026antara Tourism Malaysia dan 39 rakan strategik.

“Kerjasama ini adalah bukti sinergi antara sektor awam dan swasta. Dengan inisiatif bersama, kami yakin dapat mempromosikan pelbagai tarikan pelancongan Malaysia dan menjadikan negara ini sebagai destinasi pilihan utama,” jelasnya.

xxx

Turut hadir, Ketua Setiausaha MOTAC, Datuk Wira Roslan Tan Sri Abdul Rahman, Ketua Pengarah Tourism Malaysia, Datuk Manoharan Periasamy, Ahli Lembaga Tourism Malaysia, serta pegawai kanan MOTAC dan Tourism Malaysia.

Malaysia mencatatkan 22.5 juta ketibaan pelancong dari Januari hingga November 2024, meningkat 26 peratus berbanding tempoh sama tahun 2023.

Sepuluh pasaran utama ialah Singapura, Indonesia, China, Thailand, India, Brunei, Korea Selatan, Filipina, Australia, dan Taiwan.