Menurut Timbalan Menterinya, Khairul Firdaus Akbar Khan, kertas siasatan terhadap kes penipuan umrah melibatkan syarikat pengendali umrah itu juga telah lengkap.
“Kertas untuk kita ambil tindakan seterusnya telah disediakan. Nanti pihak MOTAC akan keluarkan kenyataan rasmi.
“Yang penting, pegawai kementerian sudah pergi ke pejabat Hejira,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan ASEAN-UK Symposium On The Development Of Asean Creative Economy Sustainability Framework, di sini, pada Khamis.
Khairul Firdaus, bagaimanapun, tidak mengulas lanjut tarikh wakil MOTAC berkunjung ke pejabat syarikat berkenaan.
Dalam perkembangan sama, Ketua Setiausaha MOTAC Datuk Roslan Tan Sri Abdul Rahman berkata, pihaknya sedang meneliti laporan yang diterima.
“Kita kena tentukan semua aspek aspek perundangan kita dapat capai sebelum mengambil langkah seterusnya.
“Tapi kita boleh nyatakan bahawa sesuatu tindakan akan diambil oleh MOTAC,” katanya.
Ahad lalu, Polis Diraja Malaysia (PDRM) memaklumkan menerima 141 laporan terhadap syarikat pengendali umrah itu dan siasatan terhadap syarikat itu masih dijalankan.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman, Datuk Seri Ramli Mohamed Yoosuf, berkata kesemua 141 laporan polis itu diterima setakat 7 Februari lalu, membabitkan nilai kerugian keseluruhan RM3.01 juta.
