SEPANG: Kempen Tahun Melawat Malaysia 2026 (TMM2026) dilaksanakan dengan berteraskan dua tonggak utama iaitu Pelancongan Berimpak Tinggi dan Pelancongan Mampan.

Menurut Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Seri Tiong King Sing, kempen itu menekankan usaha menawarkan pengalaman pelancongan yang bermakna sambil memastikan khazanah unik negara terus terpelihara. 

Jelasnya, tiga strategi utama telah dirangka untuk merealisasikan matlamat tersebut.

"Pertama, meningkatkan kedatangan pelancong. Kempen ini bertujuan menukar lawatan singkat pelancong kepada penginapan yang lebih panjang, sekali gus meningkatkan jumlah pelancong ke negara ini. 

"Kedua, melanjutkan tempoh penginapan. Penekanan diberikan kepada pengayaan pengalaman pelancongan melalui budaya dan ekopelancongan, pemberdayaan komuniti tempatan, serta penambahbaikan infrastruktur. 

"Ketiga,  menggalakkan perbelanjaan lebih tinggi. Promosi pelancongan niche seperti pelancongan mewah dan pengalaman eksklusif turut diberi perhatian untuk merangsang ekonomi pelancongan negara," katanya ketika berucap sempena majlis pelancaran TMM2026 di sini, hari ini. 

TMM2026 dilancarkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Ujar Tiong, kempen ini mencerminkan usaha berterusan Malaysia untuk menjadi destinasi pilihan pelancong global yang menawarkan keseimbangan antara pembangunan pelancongan dan kelestarian alam sekitar.