Presiden KLTA, Syed Azhar Syed Nadzir berkata, garis panduan itu akan memfokuskan kepada aspek keselamatan serta khidmat pelanggan bagi meningkatkan mutu pelancongan serta kepuasan pelancong yang berkunjung ke negara ini.
Beliau berkata, standard itu akan dibangunkan dengan kerja sama pihak berkepentingan seperti Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dan Tourism Malaysia dan setiap pemain industri yang mematuhi piawaian berkenaan akan diberi pengiktirafan oleh KLTA.
"Dengan adanya standard ini, pemberi khidmat akan tahu untuk membangunkan perkhidmatan pelanggan yang lebih interaktif dan sebagainya. Jadi, di seluruh bandar orang ramai akan bercakap tentang piawaian ini dan cara memperbaiki diri mereka dengan sepatutnya.
"Ini adalah baik untuk pelancongan dan saya percaya pelancong akan memberikan maklum balas yang lebih positif kepada kita," katanya selepas mengadakan lawatan ke Wisma Bernama, di sini, pada Isnin.
Ketika lawatan itu, Syed Azhar dan ahli persatuan itu mengadakan pertemuan bersama pengurusan tertinggi Bernama iaitu Pengerusi Bernama, Datuk Seri Wong Chun Wai; Ketua Pegawai Eksekutif, Nur-ul Afida Kamaludin; Ketua Pengarang, Arul Rajoo Durar Raj serta Timbalan Ketua Pengarang Perkhidmatan Berita, Nasriah Darus.
Dalam pada itu, Syed Azhar berkata, persatuan itu akan mempromosikan kekayaan alam semula jadi yang terdapat berhampiran Kuala Lumpur bagi menarik lebih ramai pelancong berkunjung ke destinasi berkenaan.
"Kami sedang melihat untuk mempromosikan alam semula jadi dan aktiviti mencabar di luar Kuala Lumpur yang banyak terdapat di sekitar Lembah Klang terutamanya di kawasan Selangor seperti Kemensah dan Ulu Yam, selain kami juga berharap tidak lama lagi untuk lebih menonjolkan budaya serta gaya hidup negara ini," katanya.
Mengenai pertemuannya dengan pengurusan tertinggi Bernama hari ini, Syed Azhar berkata, satu lagi pertemuan akan diadakan bersama Bernama bagi membincangkan secara terperinci usaha sama yang dapat diambil dalam mempromosikan sektor pelancongan di ibu negara.
Pada 2018, Kuala Lumpur menduduki tempat keenam dalam senarai bandar raya paling ramai dilawati di dunia dengan 13.79 juta pelawat.
Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya menyasarkan kehadiran 31.4 juta pelancong pada 2025 dengan jumlah pendapatan pelancongan kira-kira RM125.5 billion. - BERNAMA