KUALA LUMPUR: Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) sedang merancang untuk mengantarabangsakan Akademi Seni Warisan dan Budaya (Aswara) sebagai sebahagian daripada usaha memperluas pengaruh seni dan budaya Malaysia ke peringkat global.

Ketua Setiausaha MOTAC, Datuk Roslan Abdul Rahman berkata, perancangan itu bersempena dengan sambutan ulang tahun ke-30 ASWARA, yang sebelum ini dikenali sebagai Akademi Seni Kebangsaan (ASK).

Beliau berkata demikian ketika ditanya mengenai perancangan khas MOTAC untuk menggalakkan pertukaran pelajar melalui program seni atau projek kebudayaan yang melibatkan kerjasama antara negara-negara ASEAN.

"Kami sedang merancang untuk mengantarabangsakan ASWARA melalui program-program pembelajaran dan pengajaran yang ditawarkan. Kami akan membawa pelajar antarabangsa untuk belajar seni dan budaya di Malaysia.

"Ini akan menjadi satu perkembangan positif untuk ASWARA sebagai agensi di bawah MOTAC dalam usaha mengembangkan industri seni dan budaya," katanya kepada Bernama.

Beliau berkata demikian selepas sesi taklimat bersama media tempatan dan asing mengenai ASEAN Socio-Cultural Community (ASCC) sempena Malaysia menjadi Pengerusi ASEAN 2025, di sini, hari ini.

Malaysia secara rasmi kembali menggalas tugas Kepengerusian ASEAN bagi tahun 2025 dan pencapaian ini menandakan langkah penting dalam merancakkan kerjasama bersama anggota negara-negara ASEAN khususnya dalam bidang pendidikan. - BERNAMA