KENAPA kita selalu beri mesej yang salah kepada orang bukan Islam mengenai keindahan agama Allah ini?

Menonton video tular beberapa jemaah masjid di Taman Tun Dr Ismail yang memukul seorang lelaki kerana melakukan provokasi, membuat saya tertanya, apakah pelaku membawa bom tangan? Sejauh mana ancaman itu sehingga bertindak sedemikian?

Kadang kala, segelintir umat Islam fikir, lebih ganas tindakan diambil kepada pelaku seperti lelaki itu, bermakna kesucian Islam akan diangkat lebih tinggi. Lebih bengis tanda lebih mulia.

Walhal, Rasulullah telah memberi teladan bagaimana baginda melayan seorang Arab Badwi yang dalam keadaan waras, kencing di dalam masjid.

Para sahabat bangun untuk menggertaknya tetapi baginda bersabda, biarkan dia dan siramkan air setimba ke atas kencingnya. Sesungguhnya kamu diutuskan untuk memudahkan, bukan untuk menyusahkan.

Jika itu cara layanan baginda terhadap orang yang waras, cuba fikirkan pula dalam kes tular ini….

Mujur sahaja pergelutan itu tidak membawa kepada kematian, jika ia berlaku, lebih banyak persepsi lain timbul.

Di zaman media sosial yang tiada sempadan ini, video sedemikian akan terus menjadi modal. Niat untuk ‘mempertahan’ maruah Islam, akhirnya menjadi senjata makan tuan.

Lihat sahaja insiden yang berlaku di Finsbury Park, London pada 2017. Seorang lelaki memandu van ke arah sekumpulan jemaah Muslim yang baru selesai solat, seorang maut dan beberapa lagi cedera.

Ketika orang ramai mula menyerang suspek, Imam Mohammed Mahmoud dari masjid berhampiran segera campur tangan untuk melindungi suspek daripada dipukul.

Imam Mahmoud menjerit kepada orang ramai supaya tidak menyentuh suspek dan berjaya menenangkan keadaan sehingga polis tiba.

Apa yang beliau katakan, semua nyawa adalah suci dan tindakan kekerasan tidak mencerminkan nilai-nilai Islam yang sebenar, serahkan kepada polis.

Tindakan Imam Mahmoud ini mendapat pujian ramai kerana menunjukkan belas kasihan dan keberanian dalam situasi yang sangat tegang.

Inilah contoh bagaimana nilai-nilai kemanusiaan dan rahmah boleh diamalkan walaupun dalam keadaan yang mencabar.

Ia menjadi ‘fenomena’ apabila banyak komen terutama oleh orang bukan Islam di media sosial yang mula membuka mata, kerana kebanyakan mereka menilai kita bukan dari membaca risalah Tuhan, tetapi melihat akhlak penganutnya.

Nasi sudah menjadi bubur, pihak polis juga mengesahkan lelaki itu mengalami masalah mental. Kes sedang berjalan, lebih adil untuk dibahaskan lanjut selepas semuanya selesai.

Apa yang terbaik sekarang adalah suara daripada Jabatan Mufti untuk menjernihkan keadaan, seperti saranan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Mohd Na’im Mokhtar agar institusi berkenaan proaktif sekiranya ada isu berbangkit.

Setakat ulasan ini ditulis, Mufti Perlis, Datuk Dr Mohd Asri Zainul Abidin antara yang terawal memberikan pencerahan bahawa apa yang berlaku menyanggahi toleransi Islam.

Ingatlah, agama memandu akal, bukan memandulkan akal.




* Khalis Khadir merupakan Wartawan Astro AWANI.

** Pandangan ini adalah pendapat peribadi penulis dan tidak semestinya menggambarkan pendirian rasmi Astro AWANI.