SEOUL: Syarikat terlibat dalam usaha sama menghasilkan enjin pesawat Boeing yang terbabit nahas udara di Korea Selatan baru-baru ini, GE Aerospace, telah menyertai siasatan insiden tersebut.

Kementerian Pengangkutan Korea Selatan telah memanjangkan tempoh pemeriksaan khas terhadap semua 101 pesawat Boeing 737-800 di negara itu sehingga 10 Januari.

Timbalan Menterinya, Joo Jong-wan, berkata, pemeriksaan itu pada asalnya dijadualkan tamat pada Jumaat.

Namun kementerian memutuskan untuk melanjutkannya bagi menyiasat aspek seperti tempoh penyelenggaraan dan ketersediaan alat ganti.

Rakaman video di media sosial menunjukkan kepulan asap keluar dari enjin kanan pesawat sebelum nahas berlaku.

Penerbangan dari Bangkok ke daerah Muan pada Ahad itu mendarat tanpa menggunakan gear pendaratan sebelum terbabas dari landasan di lapangan terbang, meletus dalam kebakaran setelah melanggar tambak.

Insiden tersebut mengorbankan 179 nyawa.

Kementerian menyatakan pihaknya akan memeriksa enjin, rekod penyelenggaraan dan gear pendaratan semua pesawat 737-800.

Sebarang pelanggaran serius boleh menyebabkan penggantungan operasi syarikat penerbangan terlibat.

Enjin pesawat tersebut dihasilkan oleh CFM International, usaha sama antara GE Aerospace dan Safran.

Pasukan siasatan kini terdiri daripada 23 anggota, termasuk 12 penyiasat Korea serta wakil dari Boeing dan Lembaga Keselamatan Pengangkutan Nasional Amerika Syarikat (NTSB).

Dua penyiasat Korea akan ke AS bersama perakam data penerbangan (FDR) untuk menganalisis data penting bersama NTSB.

Kementerian juga mengadakan mesyuarat kecemasan dengan ketua eksekutif 11 syarikat penerbangan, termasuk Korean Air dan Asiana Airlines, bagi membincangkan langkah meningkatkan keselamatan penerbangan.

Sementara itu, pihak polis sedang menyiasat Jeju Air dan pengendali lapangan terbang antarabangsa Muan.

Pemeriksaan khas terhadap lokasi dan bahan sistem pendaratan di lapangan terbang lain di Korea Selatan juga dijadualkan selesai pada 8 Januari.

Pakar keselamatan mendapati tambak yang menyokong sistem navigasi pendaratan di Lapangan Terbang Muan terlalu kaku dan terletak terlalu dekat dengan hujung landasan, yang mungkin menyumbang kepada tragedi tersebut.

Para penyiasat turut merancang menganalisis data daripada 107 telefon bimbit yang ditemui di lokasi nahas, termasuk mesej teks, untuk mencari petunjuk tambahan mengenai apa yang berlaku sebelum nahas.