Menurut Saarani, ia selaras dengan pendirian parti itu yang tetap teguh mendukung kemuliaan institusi Raja-Raja Melayu serta menjunjung kedaulatan dan keluhuran undang-undang.
Katanya, UMNO Perak menaruh keyakinan terhadap kebijaksanaan Yang di-Pertuan Agong dalam mempertimbangkan rayuan terhadap kes Najib supaya pemimpin yang banyak berjasa kepada negara itu mendapat sebaik-baik keadilan.
“Badan Perhubungan UMNO Negeri Perak menjunjung kasih atas titah Seri Paduka Baginda berhubung kuasa prerogatif memberi pengampunan, menangguhkan hukuman, dan meringankan hukuman bagi kesalahan seperti yang digariskan di bawah Perkara 42(1) dan (2) Perlembagaan Persekutuan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Sehubungan itu, kata beliau, UMNO Perak menyokong pendirian Ibu Pejabat UMNO agar semua tindakan berkaitan kes bekas Perdana Menteri diselesaikan melalui saluran undang-undang yang sah, sejajar dengan titah Yang di-Pertuan Agong yang menganjurkan penghormatan kepada proses perundangan negara.
Terdahulu, Setiausaha Agung UMNO, Datuk Asyraf Wajdi Dusuki mengumumkan, parti itu membatalkan Himpunan Solidariti bagi menyokong bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak, yang akan diadakan Isnin ini.
Beliau berkata keputusan itu selaras dengan prinsip menghormati titah Yang di-Pertuan Agong mengenai cadangan untuk memberi keampunan atau pengurangan hukuman kepada mana-mana banduan, serta arahan Ketua Polis Negara untuk tidak membenarkan sebarang perhimpunan berkaitan isu tersebut.
Pada Jumaat, Polis Diraja Malaysia (PDRM) meminta orang ramai untuk tidak menyertai sebarang perhimpunan dan menghormati titah Yang di-Pertuan Agong berhubung kuasa prerogatif Seri Paduka Baginda.
Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain berkata, kuasa itu telah termaktub dalam Perkara 42(1) dan (2) Perlembagaan Persekutuan dengan jelas memandu semua pihak yang berhasrat untuk mendapatkan pengampunan perlu mengemukakan permohonan kepada Lembaga Pengampunan dan bukannya melalui perhimpunan atau apa jua saluran tidak mengikut undang-undang.