KUALA LUMPUR: Persatuan Perubatan Malaysia (MMA) menggesa agar pengawalseliaan Pentadbir Pihak Ketiga (TPA) untuk membendung amalan tidak beretika seperti pembahagian fi dan melindungi sistem penjagaan kesihatan daripada komersialisme.

Presiden MMA Dr Azizan Abdul Aziz berkata ketiadaan pengawalseliaan untuk TPA akan mengakibatkan peningkatan dalam kos penjagaan kesihatan, khususnya dalam khidmat penjagaan primer swasta.

"Memandangkan isu ini memberi kesan kepada perkhidmatan penjagaan kesihatan kepada orang ramai, kami menyeru ahli Parlimen untuk menangani perkara itu dalam sesi sidang Parlimen akan datang," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Dr Azizan menjelaskan bahawa TPA ialah organisasi pentadbiran swasta yang diupah oleh syarikat untuk menguruskan faedah kesihatan pekerja mereka dan orang tengah ini juga mendapat bayaran daripada caj kepada klinik pengamal perubatan am (GP) swasta untuk disenaraikan sebagai klinik panel.

Beliau berkata majoriti GP swasta bergantung kepada TPA untuk rangkaian pelanggan (syarikat) yang mereka sediakan dan perkhidmatan pentadbiran menguruskan pelbagai majikan (syarikat).

Dr Azizan berkata salah satu isu yang telah didedahkan ialah amalan pembahagian fi di mana TPA mengambil peratusan daripada jumlah bil dikenakan kepada pesakit yang membawa kepada peningkatan kos ditanggung dalam kalangan GP swasta dan pakar yang terlibat.

TPA telah diketahui memotong 10 hingga 15 peratus daripada jumlah bil yang boleh menjejaskan kemampanan klinik swasta dan kualiti penjagaan pesakit disediakan kerana doktor yang terlibat mungkin terpaksa membuat keputusan mengurangkan kos, malah pelarasan caj untuk menampung kerugian, tambah beliau.

"Kami ingin mengingatkan semua pengamal perubatan swasta bahawa di bawah garis panduan yang ditetapkan oleh Majlis Perubatan Malaysia (MMC), pembahagian fi adalah amalan tidak beretika," katanya.

Dr Azizan turut menyatakan isu lain seperti yuran pendaftaran yang tinggi sehingga RM5,000 hanya untuk disenaraikan sebagai klinik panel, pembayaran tertunda dan penolakan tuntutan, ketidakcekapan operasi, tidak telus dan isu penetapan harga dan had fi.



Untuk menyelesaikan isu ini, beliau berkata MMA mencadangkan kerajaan menangani pembahagian fi dalam kontrak, menubuhkan badan berwibawa untuk mengawal selia TPA dan menguatkuasakan amalan beretika dan menyeragamkan proses untuk mewujudkan sistem pendaftaran klinik bersepadu.

-- BERNAMA