IPOH: Khidmat anggota bomba diperlukan bagi mengeluarkan seorang warga emas lelaki yang terperangkap dan disahkan meninggal dunia dalam bilik air di rumahnya di Ipoh Garden South, di sini, awal pagi tadi.

Menurut Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, Sabarodzi Nor Ahmad, kejadian itu disedari oleh rakan mangsa sekitar jam 1.13 pagi yang mengesyaki sesuatu telah berlaku apabila mangsa terkunci dalam bilik air.

Rakan mangsa kemudiannya menghubungi talian kecemasan 999 dan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Ipoh bergegas ke lokasi.

"Terdapat seorang lelaki berusia 68 tahun ditemui terbaring di atas kerusi malas yang berada di dalam bilik air rumahnya.

"Dia disahkan meninggal dunia oleh pasukan perubatan Kementerian Kesihatan Malaysia yang hadir," katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, ketua operasi telah melakukan size up dan mengarahkan anggota memecahkan pintu menggunakan peralatan khas.

"Anggota bomba membantu mengangkat mayat mangsa menggunakan pengusung dan menyerahkannya kepada pihak polis bagi tindakan selanjutnya," katanya lagi.

Operasi tersebut tamat jam 2.24 pagi.