Pemangku Ketua Polis Daerah Ipoh Supt Mohamad Sajidan Abdul Sukor berkata, penemuan mayat wanita berusia 53 tahun itu dilaporkan suaminya pada pukul 5 petang.
Menurutnya, pemeriksaan di lokasi menjumpai wanita itu dalam keadaan terlantar dan berlumuran darah di atas lantai di tingkat dua sebuah rumah kedai yang dijadikan pusat tuisyen.
"Pemeriksaan pada tubuh wanita itu mendapati terdapat kesan kelar pada leher dan lengan, selain menemui sebilah pisau lipat berhampiran mayat si mati.
"Si mati dipercayai meninggal dunia kurang dari enam jam sebelum mayatnya dijumpai.
"Siasatan di tempat kejadian juga tidak menjumpai unsur jenayah atau sebarang kesan pergelutan yang boleh dikaitkan dengan perlakuan jenayah," katanya.
Menurut Mohamad Sajidan, berdasarkan temu bual dengan suami mangsa, wanita itu dipercayai mengelar leher dan lengan disebabkan tekanan ekoran kesakitan pada mata.
Katanya, kali terakhir suami si mati bertemu wanita itu pada Khamis lalu.
"Wanita itu baru sahaja menjalani pembedahan untuk mengeluarkan nanah pada matanya 19 Februari lalu.
"Dia juga pernah memberitahu suami dan keluarganya untuk membunuh diri kerana tidak tahan dengan kesakitan dan tahap penglihatan yang semakin berkurangan," ujarnya.
Tambah beliau, pemeriksaan awal pakar forensik mendapati punca kematian wanita itu dipercayai akibat kecederaan kelar pada leher dan kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut.
* Befrienders adalah sebuah pertubuhan bukan berasaskan keuntungan yang menyediakan khidmat sokongan emosi 24 jam sehari, 7 hari seminggu, kepada mereka yang mengalami kemurungan dan mempunyai niat untuk membunuh diri.
* Befrienders boleh dihubungi di talian 03-7627 2929 atau e-mel kepada sam@befrienders.org.my selain di laman sosial Facebook, Twitter, Instagram dan YouTube untuk bantuan.
Bagi yang memerlukan perkhidmatan sokongan emosi, boleh menghubungi talian tertera:
MHPSS di 03-29359935 atau 014-3223392
Talian Kasih 15999 / WHATSAPP Talian Kasih di 019-2615999 (Bagi pelbagai bantuan aduan keganasan rumahtangga dan pelbagai lagi masalah seperti penderaan)
KSK-Care JAKIM di WHATSAPP 0111-9598214
Befrienders Kuala Lumpur di talian 03-76272929
