Menurut Pengarah Imigresen Perak Meor Hezbullah Meor Abd Malik, Ops Sapu itu dilaksanakan di 10 premis di sini bermula Selasa malam hingga Rabu pagi.
Katanya, serbuan itu dibuat hasil daripada aduan yang diterima dan pemantauan yang dijalankan sebelum ini.
"Sebelas pegawai Imigresen terlibat dalam operasi ini; 51 orang terdiri daripada warga Malaysia dan pelbagai warga asing, telah diperiksa.
"Seramai 28 warga asing ditahan kerana dipercayai dengan munasabah melakukan kesalahan di bawah Akta Imigresen 1959/63 serta Peraturan-Peraturan Imigresen 1963.
"Mereka yang ditahan terdiri daripada 16 lelaki, 11 wanita dan seorang kanak-kanak, anggaran usia dari 10 hingga 55 tahun," katanya dalam kenyataan semalam.
Tambahnya, kesemua warga asing itu ditahan di Depot Imigresen Ipoh untuk siasatan dan tindakan lanjut mengikut Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 kerana masuk dan berada di Malaysia tanpa pas yang sah.
Selain itu, mereka turut disiasat di bawah Seksyen 15(1)(c) akta sama iaitu atas kesalahan tinggal/berada di Malaysia selepas tamat tempoh pas sah yang dikeluarkan.
Di samping itu, mereka juga disiasat kerana melakukan kesalahan di bawah Peraturan 39(b), Peraturan-peraturan Imigresen 1963, iaitu melanggar syarat pas yang telah dikeluarkan.