Ketua Menteri Datuk Seri Ab Rauf Yusoh berkata ia berikutan perubahan cuaca yang tidak menentu ketika ini menyebabkan bencana banjir berlaku tanpa dijangka.
"Keadaan ini jarang-jarang berlaku namun ketidaktentuan cuaca menyebabkan banjir seterusnya mengubah landskap kehidupan dan struktur kawasan terjejas.
"Justeru, kajian akan dibuat sebelum kita mendapat beberapa kesimpulan untuk penambahbaikan mencegah risiko banjir," katanya kepada pemberita selepas melawat pusat pemindahan sementara di Sekolah Menengah Kebangsaan Dang Anum di Merlimau semalam.
Beliau berkata kerajaan negeri juga akan menyalurkan bantuan kecemasan sebanyak RM300 kepada setiap keluarga yang terjejas akibat bencana itu di sini.
Ab Rauf turut menasihati ibu bapa supaya mengawal gerak-geri dan keselamatan anak mereka bagi mengelakkan sebarang kejadian tidak diingini.
"Jadi saya menyeru rakyat Melaka terutamanya di kawasan berisiko banjir supaya sentiasa berwaspada kerana menurut ramalan kaji cuaca, keadaan ketidaktentuan ini akan berlarutan hingga hujung tahun," katanya.
-- BERNAMA