Limpahan Sungai Bekasi di Jawa Barat setinggi lebih tiga meter menenggelamkan seluruh kawasan Kota Bekasi, menjejaskan aktiviti harian di bandar satelit Jakarta yang berpopulasi padat kira-kira 11.35 juta orang selain beberapa bandar sekitarnya yang turut meragut tiga nyawa.
Banjir tersebut juga disebabkan limpahan Sungai Ciliwung dan Cisadane yang berasal dari Puncak Cisarua di Kabupaten Bogor.
Insiden banjir lumpur pertama sejak 2017 yang melanda seluruh tingkat bawah Mega Bekasi Hypermall turut menjadi tular di media sosial.
Banjir luar biasa yang bermula pada Isnin itu dijangka berterusan hingga Selasa ini.
Pihak berkuasa bagaimanapun mengambil langkah pencegahan untuk mengelakkan impak lebih teruk akibat bencana itu iaitu dengan menjalankan kaedah pembenihan awan iaitu melepaskan garam atau bahan kimia lain yang bertujuan mengehadkan penurunan hujan di kawasan terjejas.
Operasi itu akan dijalankan sehingga Sabtu dan memberi tumpuan di kawasan pergununan di provinsi Jawa Barat di mana taburan hujan sering turun di ibu kota Indonesia.
“Kita tidak boleh menghalang hujan, namun kita akan cuba mengurangkan intensitinya,” ujar Ketua Agensi Cuaca Indonesia, Dwikorita Karnawati.
Jakarta yang berdataran rendah terdedah kepada banjir semasa musim hujan pada November hingga Mac.
Sementara itu, pemeriksaan dibuat Kementerian Lingkungan Hidup dan Kehutanan (KLHK) kawasan hulu sungai di Jawa Barat berjaya membongkar kegiatan melanggar undang-undang alam sekitar yang dipercayai menyumbang kepada insiden banjir di Jabodetabek.
Menteri Alam Sekitar, Hanif Faisol Nurofiq berkata, 33 lokasi lain yang terletak di Puncak Cisarua, Kabupaten Bogor juga berdepan pelanggaran serupa.
“Kes ini akan disiasat kerana laporan kami mengenal pasti perubahan dalam perancangan ruang telah menyebabkan banjir,” ujarnya merujuk kepada fungsi papan pemantau alam sekitar yang telah diubah individu tidak bertanggungjawab.
Menurutnya, sebarang perubahan fungsi tanah perlu disokong analisis saintifik terutamanya di zon hulu yang menjadi tempat tadahan air bawah tanah.
Pada 2020, hujan lebat berterusan telah mencetuskan banjir besar dan kejadian tanah runtuh di sekitar Jakarta yang meragut hampir 70 nyawa manakala ribuan yang lain hilang tempat tinggal. - Sinar Harian
