KUALA LUMPUR: Bersempena dengan Hari Wanita Antarabangsa, butik PAAVAI Looms Empire menganjurkan kejohanan boling dengan menggabungkan elemen budaya dan pemerkasaan wanita.

Menariknya, peserta-perserta yang menyertai pertandingan itu menggayakan sari mengikut kretiviti masing-masing, menjadikannya sebagai kejohanan boling bertemakan sari yang pertama di Malaysia.

Pengasasnya, Shalini Priyah Mogan berkata, inisiatif itu bagi mengangkat kembali pemakaian sari sebagai pilihan harian bagi wanita moden.

Diasaskan pada Oktober lalu, PAAVAI Looms Empire menurutnya, diasaskan lima sahabat pada Oktober lalu bagi mentransformasikan sari sebagai pakaian kontemporari yang relevan.

"Selain menjadi platform meraikan keunikan wanita, acara ini turut membuka ruang bagi jaringan sosial dan memperkukuh hubungan dalam komuniti.

"Walaupun terdapat peserta yang tidak mengenali antara satu sama lain, mereka berjaya beraksi dengan semangat berpasukan," katanya kepada Astro AWANI di sini, pada Ahad.

Kejohonan itu turut diserikan dengan tetamu kehormat termasuk Ketua Pegawai Eksekutif DSG Creation, Datuk Geethanjali G; pembaca berita RTM, Datin Logeswari Shanmugam; pengarah filem Dr Vimala Perumal dan pelakon-penerbit Denes Kumar.

Tambah Shalini Priyah, dengan gabungan elemen tradisional dan moden, acara bertemakan Saree Up to Strike bukan sahaja menawarkan pengalaman yang penuh makna, tetapi juga menggambarkan ketahanan dan kecemerlangan wanita dalam setiap aspek kehidupan.













"Ini adalah acara sulung kami dan dengan sambutan yang luar biasa ini, kami berazam untuk membawa lebih banyak acara seperti ini kepada semua wanita, tanpa mengira latar belakang kaum.

"Walaupun kita mungkin berbeza bangsa, namun pakaian dan makanan adalah elemen yang menyatukan kita," ujarnya.

Pertandingan boling itu dimenangi pasukan Majaa.

Sementara itu, salah seorang peserta, Nalini Sharrvina memberitahu, acara yang menggabungkan sukan dan kebudayaan itu memberi pengalaman berbeza buat dirinya. 

"Walaupun pertama kali beraksi dalam sari, namun saya merasa cukup selesa dan yakin.

"Kami beraksi dengan semangat berpasukan dan saling menyokong sepanjang pertandingan. Acara ini bukan sahaja memberi peluang untuk mempamerkan kemahiran boling, sebaliknya juga membuka ruang bagi kami untuk menjalin persahabatan dan membina rangkaian sosial yang kukuh," ujarnya.