MEKAH: Menjadi wanita pertama menggalas tugas sebagai Pengarah Operasi Tabung Haji (TH) Mekah bagi musim 1445H/2024M, Rozila Omar Ali tidak pernah menyangka pengalaman dan kepakarannya menguruskan bahagian penyelidikan dan pembangunan haji di Jabatan Haji, ibu pejabat TH membuatkannya terpilih untuk jawatan tersebut, yang lazimnya dipikul lelaki.


Ringkasan AI
  • Pelantikan Rozila Omar Ali: Rozila menjadi wanita pertama dilantik sebagai Pengarah Operasi Tabung Haji (TH) Mekah, menguruskan pentadbiran, khidmat pelanggan, dan penerbangan.
  • Cabaran dan Fokus Utama: Rozila mengatasi pelbagai cabaran dalam menguruskan maklum balas jemaah dan memastikan semua 31,600 jemaah mendapat layanan terbaik.
  • Kesaksamaan Gender: Rozila mengakui perubahan positif dalam kesaksamaan gender di Arab Saudi dan Malaysia, dengan wanita kini memainkan peranan lebih penting dalam pengurusan haji.


Beliau mencipta sejarah di TH apabila buat pertama kali tahun ini, wanita dipilih untuk menguruskan tiga unit di bawah pengurusan operasi Mekah.

Unit-unit itu ialah pentadbiran Mekah, khidmat pelanggan dan unit penerbangan.

Dua Pengarah Operasi Mekah sebelum ini adalah Datuk Ahmad Sohaimi Abd Rahim (2018/2019) dan Mohamad Zamry Mohd Noor (2022/2023).

Ditanya bagaimana dia ada kekuatan menggalas cabaran itu, Rozila berkata, pengalamannya di ibu pejabat TH banyak membantu dan diperkukuhkan lagi dengan kekuatan kerja berpasukan yang dibawa bersama sehingga ke Tanah Suci.

"Secara peribadi sekali pun, wanita ini memegang tiga status - satu sebagai isteri kepada suami masing-masing, dua ibu kepada anak-anak dan petugas kepada majikan. Tugas itu dijayakan dengan sebaik mungkin oleh mana-mana individu yang ada status itu. Inilah pengalaman yang sememangnya membuatkan sesiapa sahaja menjadi kuat dan boleh menangani sebarang cabaran.

"Saya kira pemilihan saya sebagai individu pertama menjadi Pengarah Operasi Mekah adalah disebabkan pengalaman saya dan juga seiring dengan pemerkasaan wanita oleh kerajaan Malaysia dan juga di Arab Saudi," katanya yang ditemui petugas media di pejabatnya di Mekah, semalam.

Menurut Rozila, sebagai Pengarah Operasi TH Mekah, beliau perlu banyak berkomunikasi dengan unit-unit lain yang terdiri daripada ramai lelaki dan sememangnya ada perkaitan langsung dengan petugas, sekali gus menguruskan jemaah haji.

"Walaupun pentadbiran, latihan dan operasi adalah berkisar kepada petugas haji, namun pada akhirnya, fokus dan tumpuan kita adalah kepada jemaah. Kita beri khidmat kepada jemaah, kita mengutamakan jemaah dan kita mahu keseluruhan 31,600 jemaah tahun ini disantuni dengan sebaik mungkin. Pengurusan itu yang menentukan berjaya atau tidak rancangan yang dibuat," ujar beliau yang juga wanita pertama di TH yang menjawat jawatan Ketua Jabatan di Jabatan Haji.

Bukan calang-calang tanggungjawab yang dipikul Rozila apabila menerima jawatan sebagai Pengarah Operasi Mekah.

"Paling mencabar ialah unit khidmat pelanggan yang menguruskan maklum balas aduan, pertanyaan, permohonan, cadangan dan penghargaan.

"Banyak aduan beg hilang, beg tidak dijumpai, beg rosak yang diterima petugas haji. Namun hasil kerjasama daripada petugas unit-unit tertentu dan maktab, ia berjaya ditangani dengan baik dan tidak sampai beberapa jam, kes dapat diatasi dan jemaah gembira dengan hasilnya," kata Rozila.

Kepada soalan mengenai angin perubahan kesaksamaan gender di Arab Saudi, beliau mengakui ia menyaksikan perubahan amat ketara selepas COVID-19.

"Di dalam mesyuarat dengan pihak Mashariq (yang menguruskan kemudahan dan penempatan) kepada jemaah haji Malaysia, ada beberapa wanita dan suara mereka didengar. Begitu juga di majlis suai-kenal menyambut petugas terpilih, wanita diberi tempat untuk menjadi perantara (moderator) acara soal jawab. Ini mencerminkan mereka juga mula berubah. Kita di Malaysia juga sudah banyak ke arah itu, komited melantik 30 peratus kuota wanita dalam Lembaga Pengarah.

"Justeru, saya rasa, kita (wanita) boleh lakukan, dengan syarat ada sokongan daripada semua pihak," tambah Rozila.

Mengenai unit penerbangan pula, beliau memaklumkan, unit kendaliannya perlu menangani permohonan untuk menukar penerbangan yang sudah diatur kepada jemaah sejak sebelum berlepas lagi.

Sehingga kini, untuk musim haji tahun 2024, berbaki lagi 39 penerbangan sewa khas belum tiba daripada keseluruhan 100 yang diatur TH.

Bagi petugas pula, disebabkan kekangan rutin belum selesai di tanah air menyebabkan baki 20% petugas belum tiba di Mekah. 

Daripada keseluruhan 31,600 jemaah haji Malaysia yang akan menunaikan haji pada tahun ini, jemaah wanita mewakili sebanyak 58 peratus manakala bakinya 42 peratus adalah jemaah haji lelaki.

Untuk musim haji tahun ini juga, dari segi pecahan umur pula, Tabung Haji menerusi saringan yang ketat menapis calon-calon dan memberi keutamaan kepada mereka yang berusia bawah 60 tahun.

Makluman TH menyebut, daripada kuota 31,600 jemaah, mereka yang berusia 60 tahun ke atas menyumbang sebanyak 36 peratus, sementarra baki 64 peratus jemaah lain terdiri daripada kalangan jemaah bawah 60 tahun.