Menurut Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, Sabarodzi Nor Ahmad, mangsa yang maut merupakan ibu dan anak iaitu Nor Fadhilah Mohd Azlan, 24 dan anaknya yang berusia sekitar 2 tahun.
Katanya lagi, kemalangan di antara kereta jenis Proton Wira dan Perodua Kelisa itu berlaku sekitar jam 5.15 pagi dan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Ayer Tawar bergerak ke lokasi.
"Terdapat enam mangsa, dua daripadanya maut manakala empat cedera.
"Dua mangsa lelaki iaitu Ahmad Aizat Khalid Abd Manan, 27 dan Mohammad Iqbal Tamsir, 31, dari Proton Wira cedera.
"Perodua Kelisa pula dinaiki empat orang iaitu Mohammad Shuqur Ahmad, 24 dan seorang kanak-kanak lelaki anggaran usia 3 tahun cedera, manakala seorang wanita, Nor Fadhilah dan kanak-kanak lelaki maut di tempat kejadian," katanya dalam kenyataan pada Khamis.
Tambahnya, kesemua mangsa telah dikeluarkan oleh orang awam.
Sehubungan itu Sabarodzi berkata, kesemua mangsa cedera dihantar ke Hospital Manjung manakala yang maut diserahkan kepada pihak polis bagi tindakan lanjut.