PULAU BETONG: Tanggal 26 Disember 2004, tarikh keramat yang tidak pernah luput dari ingatan penduduk Pulau Pinang, khususnya di kawasan Pulau Betong, apabila ia turut dibadai ombak besar.

Berkongsi kisah 20 tahun lepas, nelayan, Ahmad Din, 70, berkata, ombak besar itu bukan hanya membadai sebahagian perkampungan nelayan, malah meragut nyawa penduduk termasuk lima beradik yang sedang berkelah di pantai Pasir Panjang ketika itu.

Malah Ahmad berkata, dia sendiri berdepan detik cemas apabila bot dibawanya dilambung ombak setinggi 25 meter sewaktu keluar memukat ikan tidak jauh dari pantai berkenaan.

"Ketika kejadian, saya berada di depan kem BTN, saya nampak orang yang terkena ombak tetapi masa itu saya tidak boleh hulurkan bantuan, saya terpaksa selamatkan diri dahulu.

"Saya dibadai ombak, keadaan bot saya masa itu naik macam dan turun ke bawah, tetapi Alhamdulillah kami semua selamat," katanya.

Ahmad berkata, meskipun dua dekad berlalu, sebagai nelayan, dia tetap turun ke laut sehingga kini namun sentiasa mengambil langkah waspada setiap kali melihat perubahan cuaca dan ombak.

Peristiwa hitam itu turut meninggalkan kesan emosi buat Nornie Ismail, 46, yang sehingga kini masih takut untuk ke pantai berkenaan.

Katanya, sewaktu kejadian, dia bersama ahli keluarga berkelah di situ dan sama sekali tidak menyangka keadaan laut cantik serta ombak seperti naga dilihatnya sehari sebelum kejadian rupanya mengundang tragedi yang dahsyat. 

Dia terselamat kerana pulang ke rumah untuk memasak juadah tengah hari sebelum kembali semula ke pantai berkenaan untuk melihat keadaan keluarganya.

"Mereka larang akak turun ke pantai kerana ombak masih mengganas lagi. Ketika itu kelam kabut mencari anak. Rupanya mereka semua sudah lari ke atas bukit," katanya.

Dalam pada itu, tragedi ombak besar turut berbekas di hati pasukan penyelamat yang bertugas sewaktu hari kejadian.

Pegawai Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) daerah Timur Laut, Leftenan Muda, Ng Ih Heang, 53, berkata, dia sama sekali tidak menyangka tugasan ke Teluk Bahang membawa mangsa kemalangan berakhir dengan membawa puluhan mangsa tragedi ombak besar.

Antara mangsa yang sempat diselamatkannya ketika itu adalah kanak-kanak.

"Selepas selesai kes di Teluk Bahang, tiba-tiba ada satu seorang pak cik menaiki motosikal memberitahu ombak besar melanda dan ramai cedera.

"Dalam perjalan hantar mangsa kemalangan, ada seorang mak cik membawa kanak-kanak berusia 5 tahun, tiada pernafasan. Jadi kami lakukan CPR dahulu dalam ambulans.

"Kira-kira 100 meter dari tempat kami berhenti, kami lihat ramai orang tercedera di tepi jalan. Kita ambil dahulu yang cedera parah ke dalam ambulans, kira-kira dalam 10 orang, dan terus menuju ke hospital," katanya.

Sementara itu, tinjauan semula Astro AWANI ke kawasan pantai Pasir Panjang yang mengorbankan lima bersaudara mendapati kawasan pantai tersebut tetap menjadi tumpuan penduduk setempat mahupun pelancong untuk berkelah dan mandi-manda.

Pada 26 Disember 2004, ombak besar tsunami membadai beberapa kawasan di Pulau Pinang termasuk Pulau Betong, Tanjong Bungah, Tanjong Tokong, Batu Ferringhi dan Kuala Muda serta Teluk Air Tawar di Seberang Perai meragut 52 nyawa.

Seramai 32 orang di Balik Pulau menjadi korban ombak besar manakala 206 lagi cecera menjadikan ia korban tertinggi di Malaysia.

Sejumlah 2,486 nelayan dan 86 petani mengalami kerugian akibat kejadian tsunami itu.