BANDA ACEH: Tepat jam 8 pagi, warga Aceh berdiri sejenak selama tiga minit bertafakur mengingati korban tsunami yang melanda Aceh 20 tahun lalu.


Ringkasan AI
  • Tepat jam 8 pagi, warga Aceh bertafakur selama tiga minit sambil siren amaran tsunami dibunyikan, mengingati ratusan ribu korban tsunami yang melanda Aceh 20 tahun lalu.
  • Majlis khas dengan tema "Aceh Thanks The World" diadakan untuk mengenang bencana dan mengingatkan pentingnya mitigasi dan kesiapsiagaan menghadapi bencana, dengan ucapan dari Ketua Jabatan Syariat Islam Aceh Zahrol Fajri.
  • Tsunami Aceh dicetuskan oleh gempa bumi berkekuatan 9.1 - 9.3 pada skala Richter, menghasilkan ombak setinggi 30 meter yang meragut lebih 170,000 nyawa dan menghancurkan wilayah pesisir pantai Aceh.


Ketika siren amaran tsunami dibunyikan (Tsunami Early Warning System - EWS), warga yang hadir terus hiba malah ada yang menitis air mata saat bertafakur mengingati ratusan ribu korban tsunami.

Orang ramai mula membanjiri pekarangan Masjid Raya Baiturrahman sejak jam 7.30 pagi lagi.



Seperti yang telah dimaklumkan oleh pihak berkuasa bencana Aceh sebelum hari ini, siren amaran tsunami akan dibunyikan selama tiga minit di seluruh wilayah Aceh sebagai refleksi serta mengenang bencana dua dekad lalu.

Majlis khas sempena memperingati 20 tahun tsunami Aceh dengan tema ‘’Aceh Thanks The World’’ sekali gus mengangkat iltizam rakyat Aceh ‘’Beranjak dari Masa Lalu, Menuju Masa Depan Bersyariat’’.



Dalam ucapan pembukaan Ketua Jabatan Syariat Islam Aceh Zahrol Fajri, beliau mengungkapkan 20 tahun tsunami Aceh tidak sekadar mengingati tragedi gempa dan tsunami, tetapi semua pihak mempunyai peranan penting dalam menanamkan kesedaran betapa pentingnya mitigasi dan kesiapsagaan warga Aceh menghadapi bencana.



Aceh tidak melupakan warga dunia dan negara yang membantu ketika Aceh hancur dibadai tsunami.

Proses pemulihan dan pembangunan semula Aceh banyak dibantu warga global atas dasar kemanusiaan dan kebersamaan ketika musibah dan bangkit semula selepas bencana.

Untuk rekod, tsunami Aceh dicetuskan oleh gempa bumi berkekuatan 9.1 - 9.3 pada skala Richter berpusat di pusat gempa di pantai barat Pulau Sumatera.

Gempa tersebut merupakan durasi terpanjang yang pernah dicatatkan, dan bencana geologi yang paling buruk berlaku dalam sejarah moden.

Gempa sekuat itu menghasilkan ombak tsunami setinggi 30 meter, meratakan hampir keseluruhan wilayah kawasan pesisir pantai Aceh dan meragut lebih 170,000 korban nyawa penduduk Aceh.