ADDIS ABABA: Pengerusi Suruhanjaya Kesatuan Afrika (AU), Moussa Faki Mahamat, menggesa penghentian segera permusuhan di Selatan Sudan, lapor Xinhua.

Dalam kenyataan yang dikeluarkan pada Sabtu malam, ketua blok pan-Afrika itu menyatakan "keprihatinan mendalam" terhadap ketegangan yang semakin memuncak di Daerah Nasir, Negeri Upper Nile, Sudan Selatan. Pertempuran itu termasuk serangan maut ke atas sebuah helikopter Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) serta keganasan di kawasan lain yang "mengancam proses damai".

Sambil menggesa pihak berkuasa mengambil tindakan terhadap mereka yang bertanggungjawab, beliau turut menyeru semua pihak supaya menunjukkan kawalan diri sepenuhnya, menghentikan permusuhan serta-merta, mematuhi perjanjian gencatan senjata dan terlibat dalam dialog nasional.

Beliau berkata AU kini sedang berunding dengan pihak berkuasa Sudan Selatan, Pihak Berkuasa Antara Kerajaan mengenai Pembangunan blok Afrika Timur (IGAD) dan pihak berkepentingan lain untuk menyelaras usaha meredakan krisis itu.

Pengerusi AU itu sekali lagi menegaskan seruan berterusan supaya pihak berkaitan di Sudan Selatan melaksanakan sepenuhnya Perjanjian Menghidupkan Semula Penyelesaian Konflik di Sudan Selatan.

Pada Jumaat, Presiden Sudan Selatan Salva Kiir merayu semua pihak bertenang dan menegaskan komitmennya terhadap perdamaian, susulan insiden serangan ganas ke atas tentera kerajaan dan sebuah helikopter Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) di Daerah Nasir yang mengorbankan 27 orang.

Kiir berkata mereka yang terkorban termasuk seorang jeneral tentera dan komander di Nasir, berlaku pada pagi Jumaat ketika misi PBB cuba membawa keluar askar Sudan Selatan yang terperangkap di Nasir selepas pertempuran dengan White Army, sebuah militan tempatan yang berpihak kepada kumpulan pemberontak "Sudan People's Liberation Movement/Army-in-Opposition" (SPLM/A-IO).

-- BERNAMA