HAMILTON (Kanada): Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) pada Selasa memberi amaran bahawa penutupan tiga lintasan sempadan Israel yang berlanjutan sejak tiga hari lalu berisiko mencetuskan "kesan dahsyat" ke atas Semenanjung Gaza, lapor Anadolu Ajansi.


Ringkasan AI
  • PBB memberi amaran bahawa penutupan tiga lintasan sempadan Israel berisiko mencetuskan kesan dahsyat ke atas Semenanjung Gaza.
  • Operasi ketenteraan Israel di kem pelarian Jenin menyebabkan kematian, kemusnahan, dan pemindahan penduduk.
  • Sejak serangan ke atas Gaza bermula pada 7 Okt 2023, sekurang-kurangnya 928 penduduk Palestin terbunuh dan lebih 7,000 cedera.


Jurucakap PBB, Stephane Dujarric memetik Pejabat Penyelarasan Hal Ehwal Kemanusiaan (OCHA) sebagai berkata bahawa lintasan Kerem Shalom, Zikim dan Erez kekal ditutup bagi kargo untuk hari ketiga berturut-turut.

"Pihak berkuasa Israel telah menolak usaha kami untuk mendapatkan semula bekalan kemanusiaan yang telah melepasi Kerem Shalom sebelum lintasan itu ditutup," kata Dujarric pada sidang media, memetik OCHA.

Beliau menegaskan bahawa adalah penting bagi negara anggota dan pihak yang mempunyai pengaruh untuk menggunakan semua cara yang ada bagi memastikan gencatan senjata dikekalkan, sambil memberi amaran tentang "kesan dahsyat terhadap penduduk yang baru sahaja mula pulih daripada berbulan-bulan penderitaan dan kebuluran."

Di Tebing Barat, Dujarric mendedahkan bahawa operasi ketenteraan Israel di kem pelarian Jenin telah berkembang ke bahagian timur bandar Jenin, mengakibatkan lebih banyak kematian, kemusnahan dan pemindahan penduduk.

Beliau berkata arahan pemindahan Israel di Jenin menyebabkan 30 keluarga hilang tempat tinggal.

"Tentera Israel menggunakan jentolak yang merosakkan infrastruktur dan menyebabkan gangguan bekalan elektrik. Sekatan akses dan pergerakan keluar masuk bandar turut dipertingkatkan," katanya.

Tentera Israel kerap melancarkan serbuan di Tebing Barat yang diduduki, dengan peningkatan ketara sejak serangan ke atas Gaza bermula pada 7 Okt 2023. Penduduk Palestin juga berdepan serangan ganas daripada pendatang haram Israel.

Sejak itu, sekurang-kurangnya 928 penduduk Palestin terbunuh manakala lebih 7,000 cedera akibat serangan Israel di wilayah yang diduduki, menurut Kementerian Kesihatan Palestin.

Pada Julai, Mahkamah Keadilan Antarabangsa mengisytiharkan pendudukan Israel ke atas tanah Palestin selama beberapa dekad sebagai haram dan menuntut pemindahan semua penempatan sedia ada di Tebing Barat dan Baitulmuqaddis Timur.

-- BERNAMA