DOHA: Pentadbiran Presiden Donald Trump dilaporkan mengadakan rundingan rahsia dengan pejuang Hamas, bagi mendapatkan pembebasan tebusan warga Amerika Syarikat (AS) yang masih ditahan di Gaza.

Menurut White House, utusan khas AS bagi urusan tebusan, Adam Boehler, diberi kuasa untuk berunding secara langsung dengan Hamas.

Ini sekali gus bercanggah dengan dasar lama AS yang tidak berunding dengan kumpulan yang disenaraikan sebagai organisasi pengganas.

Menurut laporan Reuters yang memetik sumber, Boehler dan pegawai Hamas bertemu di Doha dalam beberapa minggu kebelakangan ini, tetapi tidak jelas siapa yang mewakili Hamas dalam rundingan tersebut.

Sebelum ini, AS mengelak daripada berhubung secara langsung dengan kumpulan itu.

Jabatan Negara AS telah melabelkan Hamas sebagai organisasi pengganas sejak 1997.

Peranan Washington sebelum ini dalam membantu perjanjian gencatan senjata dan pembebasan tebusan di Gaza hanya melibatkan kerjasama dengan Israel serta pengantara dari Qatar dan Mesir, tanpa komunikasi langsung dengan Hamas.

Rundingan rahsia itu didakwa bertujuan mendapatkan pembebasan tebusan warga AS yang masih ditahan di Gaza.

Bagaimanapun, salah satu sumber menyatakan bahawa perbincangan turut menyentuh isu perjanjian yang lebih luas, termasuk pembebasan semua baki tebusan serta cara untuk mencapai gencatan senjata jangka panjang.

Sementara itu, utusan Asia Barat Trump, Steve Witkoff, dijangka kembali ke rantau itu dalam beberapa hari akan datang untuk membincangkan cara melanjutkan fasa pertama perjanjian gencatan senjata di Gaza atau beralih ke fasa kedua.

Perang di Gaza telah dihentikan sejak 19 Januari, dan Hamas telah membebaskan 33 tebusan Israel serta lima rakyat Thailand sebagai pertukaran dengan kira-kira 2,000 tahanan Palestin.