Di SABAH, jumlah mangsa meningkat kepada 522 orang daripada 154 keluarga setakat 4 petang ini, berbanding 418 orang daripada 121 keluarga pada 8 pagi tadi.
Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sabah dalam kenyataan hari ini memaklumkan 420 orang daripada 121 keluarga dipindahkan di dua PPS Beaufort, manakala 102 orang daripada 33 keluarga di satu PPS di Membakut.
"Sebanyak 16 kampung terjejas iaitu 10 di Beaufort dan enam di Membakut. Trend pemindahan mangsa petang ini meningkat," menurut kenyataan itu.
Di MELAKA, mangsa banjir di Jasin terus berkurang dengan hanya tinggal empat orang daripada satu keluarga setakat 4 petang ini berbanding sembilan orang daripada tiga keluarga 8 pagi tadi.
Pengarah Angkatan Pertahanan Awam negeri Lt Kol (PA) Kamarulsyah Muslim berkata kesemuanya berlindung di PPS Sekolah Kebangsaan Parit Penghulu, Sungai Rambai.
Terdahulu media melaporkan dua daerah di negeri itu iaitu Melaka Tengah dan Jasin dilanda banjir akibat hujan berterusan sejak 11 malam Rabu menyebabkan kira-kira 37 kawasan dinaiki air.
-- BERNAMA
