Pameran seni “Kasih dan Harapan’ tersedia untuk tatapan secara dalam talian melalui laman sesawang Maybank menerusi Merdeka Show.
Pameran seni maya ini mempamerkan 33 karya seni 26 pelukis dan terdiri daripada 12 karya baharu yang dihasilkan untuk acara tersebut serta 21 karya seni unik yang dipilih dari pertandingan seni dan reka bentuk MyTiger Values sebelumnya yang dianjurkan Maybank sejak 2018.
Karya seni ini bukan sahaja memberi penghormatan kepada barisan hadapan yang lepas dan masa kini, tetapi juga mempamerkan cinta dan harapan para artis untuk negara dan masa hadapannya.
Karya-karya itu unik kerana mempamerkan tafsiran dan ekspresi ‘Kasih dan Harapan’ setiap artis serta maksud Malaysia sebagai lambang kepada mereka, terutamanya dengan budaya dan sosial yang indah berserta rakyatnya.
Ketua Pegawai Kemampanan Maybank, Shahril Azuar Jimin berkata, apa yang menarik untuk diperhatikan adalah nilai-nilai ini, yang dibayangkan oleh pengilustrasi dan pereka muda negara, mempunyai kaitan yang lebih luas jika dilihat dalam konteks keadaan kami sekarang.
''Ini membuat kami menyedari mengapa kami berpegang teguh dengan nilai teras Maybank ‘TIGER’ yang bermaksud Bekerjasama, Intergriti, Pertumbuhan, Kecemerlangan & Keberkesanan serta Membina Hubungan - di mana ini mendefinisikan kepercayaan Kumpulan dan apa yang ia berpegang teguh.
''Ini juga melengkapkan Rukun Negara dan merupakan prinsip pedoman yang bermanafaat untuk membantu kami terutamanya ketika negara menangani cabaran dalam pembentukan Malaysia yang baharu,” katanya dalam kenyataan di sini semalam.
Shahril berkata, walaupun sekatan pergerakan dilonggarkan di seluruh negara, namun sentimen patriotik telah tenggelam berikutan kemunculan semula kes COVID-19.
Oleh yang demikian, bagi menyuntik semangat cintakan negara tanpa mengabaikan peraturan keselamatan, Maybank telah memutuskan untuk memanfaatkan Maybank Virtual Art Gallery untuk mempamerkan ‘Dengan Kasih dan Harapan’.
Tambah beliau lagi, selain menjadikan seni tersedia untuk orang ramai, Maybank Virtual Art Gallery@ Balai Seni juga menyediakan platform yang sesuai untuk artis tempatan mempamerkan dan menjual karya mereka sekali gus menghasilkan pendapatan di waktu yang mencabar ini.
“Ini amat sejajar dengan misi kami untuk menginsankan perkhidmatan kewangan, di mana kami berikhtiar untuk menyokong komuniti sekitar untuk membina kehidupan yang mampan,” ujar Shahril.
Khasnya untuk acara ini, Maybank telah menghasilkan semula empat puisi daripada Sasterawan Negara yang ulung, Dato’ Usman Awang - iaitu ‘Jiwa Hamba’, ‘Tanah Air (Menjelang Kemerdekaan)’, ‘Mahkota Cinta’ dan ‘Merpati Putih, Jelajahilah Dunia Ini’ - sebagai sebahagian daripada pameran untuk pengunjung.
Secara kebetulan, tajuk pameran ini juga diambil daripada barisan kedua dari perenggan kelima puisi Tanah Air (menjelang Kemerdekaan) oleh Usman Awang yang berbunyi:
Bukankah dengan
kasih dan harapan
kasih dan harapan
kau tenggelamkan mereka dalam dakapan
di mana bunga ganti nisan bertaburan
Balai Seni Maybank telah secara aktif menganjurkan pameran seni untuk artis Malaysia dan antarabangsa sejak penubuhannya pada tahun 1980an. Antara nama-nama besar dalam industri seni tanahair pada masa lampau telah mempamerkan hasil-hasil karya seni mereka di Balai Seni, yang terus menyokong generasi baru pengamal seni visual.
Maybank Foundation, yang telah ditubuhkan pada tahun 2010, menyokong secara aktif program-program komuniti di bawah enam teras utama iaitu, Seni & Budaya, Pendidikan, Pemerkasaan Komuniti, Kepelbagaian Alam Semulajadi, Gaya Hidup Sihat dan Bantuan Bencana.
* Artikel asal disiarkan di Dagang News.