Pendakwaan ini turut membuka ruang kepada negara lain untuk menyiasat dan berpotensi mendakwa Kumpulan Adani atas dakwaan salah laku di peringkat antarabangsa.
Menurut pendakwa di Amerika Syarikat, Adani dan tujuh eksekutif kanan Kumpulan Adani dituduh merancang membayar lebih AS$250 juta (RM1.15 bilion) sebagai rasuah kepada pegawai India bagi mendapatkan kontrak tenaga solar yang menguntungkan.
Aktiviti ini dilaporkan melibatkan penipuan besar-besaran terhadap pelabur dan pemberi pinjaman dengan menyembunyikan tindakan rasuah tersebut.
Selain kes di AS, dakwaan ini turut mencetuskan langkah siasatan di negara lain.
Kenya misalnya telah mengambil tindakan drastik dengan membatalkan perjanjian bernilai $2.5 bilion (RM11.5 bilion) dengan Kumpulan Adani, termasuk pengambilalihan Lapangan Terbang Antarabangsa Jomo Kenyatta.
Keputusan itu dibuat berikutan laporan mengenai tuduhan rasuah dan penyalahgunaan kuasa yang mengaitkan syarikat tersebut.
Dalam kenyataan rasmi yang dikeluarkan, kerajaan Kenya menyebut mereka kini sedang menyemak semula projek-projek lain yang melibatkan Kumpulan Adani untuk memastikan tiada elemen rasuah atau penipuan berlaku.
Negara-negara seperti Australia dan Afrika Selatan juga dilaporkan memantau perkembangan kes ini bagi menentukan sama ada wujud pelanggaran undang-undang di wilayah mereka.
Sementara itu, di India, kerajaan menghadapi tekanan domestik untuk menyiasat kesan dakwaan ini terhadap ekonomi negara.
Kumpulan Adani yang merupakan salah satu konglomerat terbesar India menafikan semua tuduhan dan berjanji untuk mempertahankan reputasi mereka melalui tindakan undang-undang.
Kes ini bukan sahaja mengancam kestabilan perniagaan Kumpulan Adani tetapi juga menimbulkan persoalan besar mengenai ketelusan perniagaan global dan pengaruh korporat dalam projek infrastruktur berskala besar.