ALOR SETAR: Jumlah mangsa banjir di Kedah terus meningkat kepada 567 orang dari 156 keluarga yang ditempatkan di lapan pusat pemindahan sementara (PPS) di lima daerah di negeri ini.

Angka itu meningkat berbanding 526 mangsa dari 145 keluarga yang direkodkan jam 8 pagi tadi.

Ketua Bahagian Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Kedah, Mejar (PA) Mohd Muaz Mohd Yusoff berkata, setakat jam 12 tengah hari, jumlah mangsa banjir di Kota Setar mencatatkan peningkatan iaitu seramai 209 mangsa dari 61 keluarga berbanding 179 mangsa dari 52 keluarga pagi tadi.

“Tiga PPS yang aktif di daerah Kota Setar adalah di Sekolah Kebangsaan (SK) Langgar iaitu seramai 80 orang dari 23 keluarga meningkat dari 79 mangsa dari 23 keluarga.

"Jumlah mangsa banjir di PPS SK Suka Menanti pula merekodkan seramai 41 mangsa dari 16 keluarga yang merekodkan tiga lagi mangsa dari sebuah keluarga.

"PPS di SK Darul Hikmah pula merekodkan seramai 88 mangsa dari 22 keluarga dan bertambah seramai 50 mangsa dari tujuh keluarga berbanding pagi tadi," katanya ketika dihubungi Astro AWANI.

Mohd Muaz berkata, jumlah mangsa banjir yang ditempatkan di PPS Dewan Rakan Sukan Tanah Merah, Pendang pula meningkat seramai 250 mangsa dari 62 keluarga berbanding 245 mangsa dari 61 keluarga.

Beliau berkata, PPS di Kubang Pasu iaitu di SK Dewan Kampung Tradisi Lembah Keriang dibuka pukul 2 pagi tadi turut meningkat seramai 71 mangsa dari 20 keluarga berbanding menempatkan seramai 65 mangsa dari 19 keluarga.

Manakala dua PPS di Baling yang ditutup semalam terpaksa dibuka semula berikutan paras air yang meningkat semula di kawasan itu akibat hujan lebat.

Beliau berkata, PPS SK Siong masih kekal seramai tujuh mangsa dari empat keluarga dan PPS Tunku Putera seramai lapan mangsa dari sebuah keluarga.

"Kedua-dua PPS di Baling ini dibuka antara jam 1 pagi dan 4.30 pagi tadi.

"Jumlah keseluruhan mangsa banjir di daerah itu masih kekal 15 mangsa dari lima keluarga," jelas Muaz.

Dijangkakan jumlah mangsa banjir di negeri akan bertambah sekiranya hujan lebat yang boleh menyebabkan paras air sungai meningkat.