GENEVA: Agensi Pelarian Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) pada Jumaat mendedahkan, 71 peratus individu yang melarikan diri ke Republik Chad menceritakan pernah mengalami pelanggaran hak asasi manusia, menggambarkan tahap trauma dalam kalangan pelarian sebagai "amat dahsyat," menurut laporan Anadolu Agency (AA).

Menyifatkan laluan pelarian itu sebagai "berbahaya dan tidak berperikemanusiaan," Pengarah Hubungan Luar Suruhanjaya Tinggi PBB bagi Pelarian (UNHCR), Dominique Hyde dalam taklimat PBB di Geneva berkata pelanggaran hak asasi manusia terhadap pelarian "bukan sesuatu yang jarang berlaku."

"Sebanyak 71 peratus pelarian yang tiba di Chad menceritakan mereka terselamat daripada pelanggaran hak asasi manusia di Sudan ketika melarikan diri. Namun, tahap trauma yang dialami amat dahsyat, dengan keluarga masih dalam keadaan terkejut selepas menyaksikan keganasan dan hidup dalam ketakutan meskipun berada di tempat yang lebih selamat," katanya.

Hyde menyifatkan Chad sebagai "tempat perlindungan, talian hayat" bagi 700,000 pelarian Sudan yang melarikan diri sejak perang tercetus pada April tahun lepas, sambil berkata hampir 90 peratus daripada mereka terdiri daripada wanita dan kanak-kanak yang terpaksa meninggalkan kediaman ketika konflik terus berleluasa di Sudan.

"Ini adalah kemasukan pelarian terbesar dalam sejarah Chad, dan pelarian yang baru tiba menambah kepada 400,000 rakyat Sudan yang hidup sebagai pelarian di Chad, menjadikan jumlah pelarian Sudan di Chad kini mencecah 1.1 juta orang," menurut laporan Anadolu memetik kenyataan Hyde.

Keganasan yang berlaku kebelakangan ini hanya mempercepatkan penghijrahan besar-besaran itu, katanya, pada Oktober sahaja, 60,000 pelarian menyeberangi sempadan susulan pertempuran yang semakin memuncak di Darfur serta selepas surutnya banjir.

"Orang awam terpaksa menanggung kesan paling dahsyat dalam konflik ganas ini. Mereka yang berjaya melarikan diri ke Chad menceritakan kekejaman yang dialami - orang awam diancam, rumah dijarah , serta manusia dan haiwan dibunuh. Ramai yang dipaksa melihat orang tersayang dibunuh," kata Hyde.

"Orang ramai menjadi sasaran berdasarkan etnik, lelaki dan anak lelaki dibunuh, dan mayat mereka dibakar. Wanita pula dirogol ketika melarikan diri," katanya.

Sejak pertengahan April 2023, Angkatan Tentera Sudan dan pasukan separa tentera Rapid Support Forces terlibat dalam konflik yang meragut lebih 20,000 nyawa dan memaksa hampir 10 juta orang meninggalkan kediaman mereka, menurut PBB.

Gesaan daripada PBB dan badan-badan antarabangsa semakin meningkat untuk menghentikan konflik berkenaan, yang menyebabkan berjuta-juta rakyat Sudan di ambang kebuluran dan maut akibat kekurangan makanan, dengan pertempuran merebak ke 13 daripada 18 negeri di Sudan.

-- BERNAMA