Malaysia-New Zealand sepakat tingkat perdagangan, pelaburan kepada 50 peratus
Perkara itu dicapai hasil pertemuan singkat Datuk Seri Anwar Ibrahim dengan rakan sejawatnya dari New Zealand, Christopher Luxon.
Harits Asyraf Hasnan
Sat Nov 16 2024
Perkara itu dicapai hasil pertemuan singkat Datuk Seri Anwar Ibrahim dengan rakan sejawatnya dari New Zealand, Christopher Luxon. - PMO
LIMA: Malaysia dan New Zealand sepakat untuk melonjakkan hubungan dua hala menerusi kerjasama dalam pelbagai bidang terutamanya dalam meningkatkan nilai perdagangan dan pelaburan kepada 50 peratus pada tahun 2030.
Perkara itu dicapai hasil pertemuan singkat Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dengan rakan sejawatnya dari New Zealand, Christopher Luxon sebelum bermula hari terakhir Minggu Pemimpin Ekonomi APEC (AELW) di Pusat Konvensyen Lima (LCC) di sini.
“Kami turut membincangkan kerjasama dalam bidang pendidikan Teknologi Maklumat (IT), kejuruteraan, pertanian dan industri halal,” katanya dalam kenyataan kepada media di sini pada Sabtu.
Turut serta dalam pertemuan itu adalah Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan dan Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz.
Pada 2023, New Zealand merupakan rakan dagangan ke-28 terbesar Malaysia, destinasi eksport ke-22 dan sumber import terbesar dalam kalangan negara di rantau Oceania.
Jumlah perdagangan antara Malaysia dan New Zealand adalah sebanyak RM11.56 bilion (AS$2.54 bilion).