SEPANG: Malaysia mula mengeksport durian segar ke China hari ini, selepas dua bulan Protokol Keperluan Fitosanitari Pengeksportan Buah Durian Segar dari Malaysia ke China dimeterai.

Timbalan Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan Datuk Arthur Jospeh Kurup berkata durian segar telah dibenarkan memasuki pasaran China bermula tahun ini, berbanding sebelum ini hanya durian sejuk beku boleh dieksport ke negara itu.

Beliau berkata untuk permulaan sebanyak 40 metrik tan (MT) durian segar meliputi jenis Musang King, Black Thorn, D24 dan IOI, dari lapan syarikat pengeksport akan dihantar ke China menerusi tiga fasa.

"Fasa pertama ialah hari ini sebanyak 15MT, fasa kedua iaitu esok berjumlah 10MT, manakala selebihnya untuk fasa ketiga," katanya kepada media selepas Pelancaran Pengeksportan Pertama Durian Segar Malaysia ke China, di sini hari ini.

Turut hadir Menteri Pengangkutan Anthony Loke Siew Fook, Ketua Setiausaha KPKM Datuk Lokman Hakim Ali dan Pengerusi Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) Aminuddin Zulkipli.

Arthur berkata durian segar itu dieksport ke China susulan pemeteraian Protokol Keperluan Fitosanitari Pengeksportan Buah Durian Segar dari Malaysia ke China, antara Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan Datuk Seri Mohamad Sabu dan Menteri Pentadbiran Am Kastam China (GACC) Yu Jianhua, 19 Jun lepas di Putrajaya.

Beliau berkata program pengeksportan durian merupakan antara inisiatif FAMA untuk memperkukuh rantaian bekalan dengan meningkatkan kecekapan rantaian bekalan durian dari ladang hingga ke pasaran antarabangsa.

"Langkah itu telah membuahkan hasil seperti yang kita lihat hari ini dengan membuka peluang kepada pengusaha atau pekebun durian di negara ini untuk memasarkan buah-buah mereka ke China," katanya.

Sementara itu, Loke berkata durian segar itu dihantar menerusi kargo udara ke Lapangan Terbang Antarabangsa Zhengzhou Xinzheng, yang merupakan lapangan terbang kargo paling utama di China.

"Apabila sampai di Lapangan Terbang Antarabangsa Zhengzhou Xinzheng, di situ ada rangkaian logistik yang sangat komprehensif melalui kereta api, trak dan pelbagai mod pengangkutan yang lain, jadi dalam tempoh tak sampai 24 jam, durian segar itu boleh sampai ke seluruh China terutama bandar raya besar seperti Beijing, Shanghai yang merupakan pasaran utama untuk durian segar kita," katanya.

-- BERNAMA