Justeru, Malaysia bertegas mengulangi desakan agar menghentikan segera pembunuhan beramai-ramai di Gaza, dan kegagalan berbuat demikian adalah satu bentuk konspirasi yang mengancam usaha keamanan.
Dalam satu kenyataan, Wisma Putra berkata kempen keganasan rejim Zionis Israel jelas bertujuan untuk menghapuskan rakyat Palestin dan memusnahkan Gaza serta pada masa yang sama menjejaskan usaha antarabangsa untuk mencapai penyelesaian aman.
"Malaysia menuntut agar Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) menunaikan tanggungjawab yang diamanatkan oleh Piagam dengan memastikan rejim Zionis Israel dipertanggungjawabkan atas tindakannya, serta menegakkan keutuhan undang-undang antarabangsa bagi menghentikan kekebalan Israel daripada tindakan undang-undang.
"Malaysia akan terus menyampaikan sokongan yang tidak berbelah bahagi untuk memastikan Palestin diiktiraf sebagai sebuah negara berdaulat sepenuhnya berdasarkan sempadan pra-1967 dengan Baitulmaqdis Timur sebagai ibu kotanya," kenyataan itu menyebut.
Kenyataan itu menambah, sokongan penuh Malaysia terhadap Palestin juga melibatkan usaha mereka untuk menjadi anggota penuh PBB.
Malaysia berdiri teguh bersama rakyat Palestin dalam usaha mereka mencapai kebebasan, maruah, dan keadilan, dan akan terus memperjuangkan hak mereka di pentas global.