GAZA: Jumlah kematian rakyat Palestin akibat serangan berterusan Israel di Semenanjung Gaza telah meningkat kepada 45,484 orang, dengan 108,090 yang lain cedera.

Perkara itu didedahkan menerusi kenyataan pihak berkuasa kesihatan yang berpangkalan di Gaza.

Peningkatan jumlah korban ini berlaku selepas 48 rakyat Palestin lagi terbunuh dalam tempoh 24 jam terakhir akibat serangan udara Israel.

Menurut sumber Palestin, sekurang-kurangnya sembilan rakyat terbunuh dan puluhan yang lain cedera dalam serangan udara Israel ke atas sebuah rumah di kem pelarian Maghazi di tengah Semenanjung Gaza pada Sabtu.

Sumber tempatan dan saksi mengatakan bahawa sebuah pesawat Israel mengebom sebuah rumah di pinggir kem Maghazi dengan sekurang-kurangnya satu peluru berpandu.

Jurucakap tentera Israel, Avichay Adraee, dalam satu kenyataan pada hari Sabtu mengatakan bahawa pasukan Israel mula beroperasi pada waktu malam terhadap "sasaran pengganas di kawasan Beit Hanoun" berdasarkan maklumat risikan awal mengenai kehadiran sejumlah pengganas dan kemudahan pengganas di kawasan itu.

Sebelum pasukan memasuki kawasan tersebut, jet pejuang Israel, dengan kerjasama tembakan artileri, menyerang "beberapa kawasan yang didakwa sasaran pengganas" di kawasan itu.