KUALA LUMPUR: Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) akan menganjurkan Program Gema Syukur 2025 sempena Tahun Baharu 2025 di Masjid Putra, Putrajaya, hari ini.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Mohd Na'im Mokhtar berkata program itu yang akan bermula pada 6 petang ini sehingga 9 pagi esok, dijangka dihadiri lebih 1,000 mahasiswa daripada pelbagai universiti awam dan swasta dalam negara dan ia merupakan alternatif bagi masyarakat untuk mengimarahkan masjid melalui pelbagai pengisian program yang bermanfaat.

Beliau berkata, forum istimewa bertemakan Fostering Unity and Da'wah Across Border turut dianjurkan khas kepada mahasiswa daripada luar negara di Auditorium, Masjid Putra bermula 10.30 malam ini selepas sesi International Quran Moment bersama keseluruhan pengunjung yang hadir.

"Bagi sesi malam tahun baharu, pengisian program Gema Syukur 2025 ialah majlis bacaan Yasin dan doa, Gema Cinta Rasul bersama kumpulan nasyid Inteam, Tadabbur Quran: International Quran Moment, Podcast 'Jerat Nafsu', Kira Detik 2025 dan disudahi dengan doa keberkatan untuk melangkah ke tahun baharu," katanya menerusi satu kenyataan semalam.

Mohd Na'im berkata, podcast 'Jerat Nafsu' menampilkan panel jemputan khas iaitu Ketua Penolong Mufti Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan, Syed Shahridzan Syed Mohamed; Ketua Pegawai Eksekutif MyFundAction, Ghafur Rahim Mustakim dan Ketua Penolong Pengarah Bahagian Siasatan Seksual Wanita dan Kanak-Kanak (D11) Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, SAC Siti Kamsiah Hassan.

Bagi sesi awal tahun baharu pula, Mohd Na'im berkata, program yang akan diadakan termasuk Qiamullail pimpinan Syeikh Abdul Karim Omar al-Fatani al-Makki dan Forum 'Demi Masa'.

Mohd Na'im berkata, pada program itu, 100 asnaf akan disantuni dan menerima sumbangan wang tunai RM200, bakul makanan serta kit kebersihan sebagai tanda harapan serta sokongan untuk mereka terus melangkah ke tahun baharu, selain lebih daripada 15 pilihan menu sarapan percuma disediakan bagi yang hadir.

"Pengunjung bertuah berpeluang menerima hadiah istimewa, termasuk Syiling Emas yang ditaja khas Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia (YAPEIM). Datanglah lebih awal untuk berqiamullail dan mendaftarkan diri bagi menjadi antara insan yang bertuah," katanya.

Mohd Na'im, berkata program itu merupakan inisiatif strategik agensi-agensi di bawah Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) bersama rakan strategik iaitu Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (MAPIM), MyFundAction dan Du'at Al-Falah selain disokong oleh Masjid Wilayah Persekutuan serta Pusat Pungutan Zakat (PPZ).

Beliau berkata, program itu merupakan penzahiran iltizam agensi-agensi di bawahnya untuk terus memacu ummah dalam menyemarakkan syiar Islam di Malaysia.

Pada masa sama membangkitkan semangat motivasi serta tekad mencapai kejayaan dengan azam tahun baharu, selain bermunajat dan berdoa supaya Malaysia dijauhi daripada segala musibah, bala bencana serta wabak penyakit.

Mohd Na'im berkata, program itu mempunyai empat objektif iaitu menzahirkan tanda kesyukuran atas segala nikmat yang diperoleh sepanjang tahun, memupuk kebersamaan dan mengeratkan semangat persaudaraan dalam kalangan komuniti setempat.

-- BERNAMA