Kerajaan belum menetapkan tarikh tertentu berkenaan penubuhan mahkamah khas rasuah, namun usaha ke arah itu akan cuba dilakukan secepat mungkin.

Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad menegaskan penubuhan mahkamah itu bagaimanapun tidak akan menjejaskan fungsi dan peranan mahkamah biasa.

"Kita memahami mahkamah biasa agak sibuk kerana perlu mengendalikan pelbagai kes lain.

"Mahkamah ini akan membolehkan kes-kes rasuah diberi masa untuk diteliti sebaiknya.

“Kerajaan dalam proses akhir penilaian cadangan ini dan akan diputuskan secepat mungkin,” kata beliau pada sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Khas Kabinet Mengenai Anti Rasuah (JKKMAR), pada Selasa.

Mesyuarat itu turut memutuskan penggunaan lagu berjudul Malaysia Bersih dalam semua program rasmi kerajaan yang akan dimainkan selepas lagu Negaraku.