SAYA memohon maaf. Ini tugas dan tanggungjawab saya sebagai ahli ekonomi. Untuk kebaikan kita semua, negara kita. 

Penjelasan di Instagram oleh Menteri MITI mengenai kejatuhan daya saing negara tidak begitu tepat, dengan penuh hormat, perlu diperbetulkan.

Penurunan daya saing negara BUKAN perkara baharu, bukan hanya dari tahun 2023 ke 2024. Ianya telah membentuk tren jangka panjang.

Kedudukan daya saing Malaysia umumnya menurun dari tahun ke tahun sejak bertahun yang lalu.

Bukan masa untuk kita mencari salah siapa. Ianya terjadi begini bukan kerana faktor jangka pendek. Bukan kerana suasana ekonomi tahun lepas. Bukan kerana kenaikan kadar faedah Amerika Syarikat. Bukan kerana ketegangan geo-politik Ukraine-Rusia atau US-China. Bukan kerana permintaan global produk berteknologi tinggi yang rendah.

Tren menurun terbentuk kerana keseluruhan negara tidak bertindak dengan penuh komitment untuk menghasilkan perubahan.

Kita tahu kelemahan kita. Tidak boleh diletak semua atas bahu Perdana Menteri dan kerajaan hari ini.

Semua kita bertanggungjawab. Kerajaan tidak perlu menolak kesimpulan laporan indeks daya saing yang merisaukan ini.

Betul, saya setuju, jangan panik, bukan segalanya ditentukan oleh laporan daya saing IMD ini. Malah laporan daya saing dan daya inovasi lain yang disebut YB Mengeri juga hakikatnya menyimpul status tren menurun yang sama. Jangan panik, namun kita MESTI risau.

Ini ‘peluang’ untuk kita, kerajaan, industri, dan rakyat bertindak bersama memperbetulkan apa yang salah atau mengukuhkan apa yang lemah. Termasuklah bebanan subsidi bahan api yang tidak mampan, menggugat kedudukan fiskal negara.

Jangan tolak kelemahan dan kesilapan kita. Lagi lama kita asyik menolak, lagi buruk mungkin jadinya.

Daya saing bukan bayangan  prestasi ekonomi tahunan seperti eksport dan nilai matawang. Ianya bukan laporan prestasi ekonomi tahunan.

Salah kalau mengaitkan daya saing dengan suasana ekonomi tahunan.

Sebahagian besar faktor yang dinilai adalah merujuk kepada elemen-elemen struktur termasuk percukaian, produktiviti dan kecekapan, peraturan perniagaan, pasaran buruh, sikap dan nilai, institusi, infrastruktur, pendidikan dan beberapa lagi.

Ekonomi MADANI mensasarkan daya saing Malaysia meningkat ke tangga ke 12 bersamaan dengan pencapaian kita 10 tahun yang lalu (2014).

Dari 20 sub-petunjuk, hanya 3 yang bertahan. Selebihnya telah jatuh jauh ke bawah.

Faktor-faktor yang dinilai membayangkan ‘kualiti’ persekitaran ekonomi dan perniagaan Malaysia.

Sejauhmana Malaysia mampu menjadi sebuah destinasi pelaburan yang baik, yang merangsang kejayaan pelaburan.

Pada saya, kita perlu risau dengan tren jangka panjang menurun yang sangat jelas. Bacaan status daya saing tidak seharusnya dibuat secara jangka pendek, tahun ke tahun. Ianya lebih kepada ‘stock’ bukan ‘flow’.

Tindakan mengukuhkan daya saing memerlukan keputusan yang kukuh dan komitment yang bersungguh. Besar kemungkinan ianya mengambil masa.

Ia bukan pening kepala biasa yang boleh diubati dengan dua biji panadol!

Ianya struktur, sistemik yang memerlukan keputusan dan tindakan yang berkesan. Mesti risau. Jangan panik. Boleh diperbaiki.

Ayuh Malaysia, kita risau bersama! Kita hilangkan kerisauan ini bersama!


* Penulis adalah Pengarah, Institut Pembangunan dan Kemajuan Inklusif Malaysia (MINDA), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).

** Penulisan artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan sidang pengarang Astro AWANI.